Kumpulan Jakel, pemilik tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur memberi jaminan bahawa tidak akan merobohkan rumah ibadat Hindu tersebut secara paksa.
Ketua komunikasi undang-undang dan korporatnya, Aiman Dazuki, berkata syarikat itu ingin mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak dan akan terus berunding dengan jawatankuasa pengurusan kuil.
Katanya, syarikat itu hanya akan memulakan pembinaan di tapak tersebut setelah isu diselesaikan dan kuil dipindahkan ke lokasi lain yang dipersetujui oleh pengurusan kuil.

“Saya nak tekankan di sini, yang ada orang di luar sana menggunakan terma merobohkan, perobohan.
“Ini tidak tepatlah bukan-bukan roboh. Tak ada isu roboh ni tak pernah berbangkit,”kata Aiman dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi ini.
Menurut eksekutif tersebut, Jakel terlibat dalam perbincangan dengan jawatankuasa kuil selama 10 tahun yang lalu untuk mencari penyelesaian terbaik.
Aiman berkata mereka menawarkan pampasan kepada jawatankuasa kuil untuk menanggung kos pemindahan, tetapi tidak dapat mendedahkan jumlahnya kerana perkara itu masih dalam perbincangan.
Aiman berkata Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan dua atau tiga tapak untuk pemindahan kuil tersebut tetapi ditolak oleh jawatankuasa pengurusan.
Sidang media diadakan hari ini untuk menangani polemik yang timbul berkenaan isu tanah tersebut selepas berita tersebar bahawa sebuah masjid akan dibina di tapak itu.
MalaysiaNow semalam melaporkan masjid yang dicadangkan itu akan dinamakan "Masjid Madani" dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan upacara pecah tanah pada akhir bulan ini.
Wakaf pengasas syarikat
Menurut Aiman, Jakel telah membuat tinjauan ke atas tanah tersebut sejak 2009 sebelum menandatangani perjanjian pembelian tiga tahun kemudian untuk merealisasikan hasrat pengasas syarikat, Mohamed Jakel Ahmad, untuk mewakafkan sebuah masjid untuk komuniti setempat.
Sementara itu. Ketua Pegawai Kewangan Jakel, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, semasa pembelian mereka dimaklumkan bahawa kewujudan kuil itu hanya sementara.

“Dan yang kedua, sekiranya di pihak kita (tanah) tanah itu ada restriction ataupun kekangan, sudah pasti pihak syarikat tak akan membeli tanah tersebut.
“Sebab proses pembelian tanah ni adalah melibatkan pihak DBKL, pihak berkuasa, dan saya pasti Pihak DBKL ataupun pihak berkuasa ambil maklum, jelas kedudukan tanah.
“Sekiranya proses penjualan ini tak wajar berlaku, pihak syarikat sudah pasti tak boleh nak memiliki tanah tersebut,” katanya.
Selain itu, katanya, sebagai menghormati kewujudan kuil, walaupun sudah memiliki tanah, mereka belum mengambil sebarang tindakan.
“Kita masih benarkan rumah ibadat itu berjalan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, mengenai upacara pecah tanah yang dijadualkan pada 27 Mac, Aiman berkata tarikh itu dipilih bersempena bulan Ramadan.
Bagaimanapun, dia menekankan bahawa ia hanyalah acara simbolik dan syarikat tidak akan memulakan sebarang pembinaan sebelum kuil dipindahkan.