Kabinet meluluskan perjanjian dengan Ocean Infinity untuk memudahkan pencarian baru serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Susulan persetujuan kabinet dengan terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat penerokaan marin yang berpangkalan di UK, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian itu akan mewakili Putrajaya dalam menandatangani perjanjian pencarian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Loke berkata perjanjian itu akan menyaksikan permulaan operasi pencarian laut dalam untuk mengesan MH370 di lokasi baru yang dianggarkan meliputi kawasan kira-kira 15,000km persegi di selatan Lautan Hindi.
Dia juga mengulangi bahawa Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

"Fi sejumlah AS$70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai.
"Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup (closure) bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370,” tambah Loke.
Awal bulan ini, Kementerian Pengangkutan berkata Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia telah melantik wakil bertauliah untuk memberikan sokongan teknikal kepada misi itu.
Pada 8 Mac 2014, Penerbangan Malaysia Airlines MH370 berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Bagaimanapun, pesawat itu hilang daripada radar selepas hanya dua jam terbang dan masih hilang sehingga hari ini.
Ocean Infinity sebelum ini menjalankan operasi mencari di Selatan Lautan Hindi, meliputi 25,000km persegi dari Januari hingga Jun 2018, tetapi tiada serpihan ditemui.