Penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur mencadangkan "tapak alternatif" untuk pembinaan masjid, yang dirancang dibina di tapak kuil tersebut.
Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata daripada meroboh dan memindahkan kuil 130 tahun itu, masjid boleh dibina di dua plot tanah yang berdekatan.
"Ada penyelesaian mudah. Tidak perlu kuil ini diroboh.
"Tapak yang berdekatan cukup besar untuk membina sebuah masjid, dan masih ada ruang untuk pengembangan," katanya semasa sidang media di pejabat LFL di Petaling Jaya.
Turut hadir ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, peguam N Surendran yang mewakili jawatankuasa kuil, serta anggota jawatankuasa kuil.

Ambiga menegaskan kerajaan ada peranan untuk mencari penyelesaian untuk kuil tersebut, walaupun tanah dimiliki syarikat swasta.
“Saya tak nak berkasar tapi come on kerajaan Madani, apa masalah anda sebenarnya?
“Selesaikan hal ini, senang saja. Saya terkejut yang mereka tak dapat lakukannya, selepas bersama-sama kami, orang yang mereka kenal, di jalanan untuk keadilan,” kata bekas pengerusi Bersih itu.
“Penyelesaian ada di depan anda. Lakukan. Itu saja yang saya dapat katakan,” katanya lagi, sambil menambah naratif Madani harus merangkumi keadilan dan keterangkuman.
Surendran pula membangkitkan pengalamannya ketika menjadi ahli Parlimen Padang Serai pada 2014, di mana dia menyokong pengekalan sebuah kuil Hindu di Jalan Raja Chulan dan Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang ketika itu memberikan sokongan penuhnya.
“Jadi saya harap perdana menteri akan tunjukkan semangat yang sama seperti 10 tahun lalu, ketika dia menyokong saya.
“Saya harap dia dapat ingat semangat itu dan bangkitkan semula semangat itu dalam dirinya,” katanya lagi.