Selepas PAS mempertikaikan cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, seorang pemimpin PKR mengingatkan parti itu bahawa ia pernah menyokong idea berkenaan pada masa lalu.
"Cadangan ini bukanlah perkara baru, Manifesto Barisan Alternatif pada tahun 1998 telah pun menyebut keperluan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.
"Ini menunjukkan cadangan ini bukan sekadar satu langkah politik semasa tetapi merupakan sebahagian daripada perjuangan reformasi yang telah lama diperjuangkan demi memastikan sistem pemerintahan yang lebih demokratik dan telus.
"Mengapa PAS yang dahulu juga sebahagian daripada Barisan Alternatif kini beralih arah dan cuba menolak cadangan ini?" soal Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam catatan di X hari ini.
Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencadangkan kerajaan melaksanakan beberapa pembaharuan yang dijanjikan, termasuk mengehadkan penggal perdana menteri.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan itu.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata cadangan itu adalah percubaan "minoriti" untuk menentukan nasib "majoriti" dengan merungkai Perlembagaan.
Seorang lagi pemimpin PAS, Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman berkata topik itu terbuka untuk dibincangkan tetapi dengan syarat jawatan perdana menteri dikhususkan untuk orang Islam.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata cadangan itu bertentangan dengan kehendak Tuhan.
Barisan Alternatif adalah pakatan politik longgar yang dibentuk pada 1998 berikutan pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri semasa tempoh pertama pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Selain PAS, pakatan itu juga dianggotai DAP dan PKR. Pakatan itu runtuh pada tahun 2001.
Nik Nazmi mempersoalkan sikap PAS dengan berkata cadangan itu adalah pembaharuan besar yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar itu menambah bahawa cadangan itu penting untuk memastikan kuasa tidak tertumpu kepada seorang individu.
Nik Nazmi juga menegaskan bahawa Malaysia sudah mempunyai institusi yang melindungi kedudukan Islam di negara ini, iaitu institusi beraja.
Sejak kemerdekaan lagi sejarah telah membuktikan Perdana Menteri Malaysia sentiasa dilantik daripada kalangan pemimpin Melayu.
"Persoalan aneh ini langsung tidak relevan dengan perbahasan had penggal perdana menteri. Hakikatnya, tindakan PAS ini merupakan percubaan untuk mengalih perhatian daripada reformasi yang sedang dibincangkan.
"Seperti biasa, PAS tidak berminat untuk melakukan reformasi atau penambahbaikan institusi yang baik untuk rakyat.
"Sebaliknya, mereka cenderung untuk mempolemikkan setiap isu dan membakar sentimen kaum serta agama demi keuntungan politik," katanya.