Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mahu tuduhan 'kafir' dan 'murtad' yang dilemparkan ke atas umat Islam yang menyertai parti itu dihentikan.
Katanya, amalan ‘takfiri’ itu sangat bahaya sedangkan ia bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat ekstrem.
“Ada yang tidak senang dengan pemilihan sahabat saya (ahli Parlimen Bangi) Syahredzan Johan dan (ahli Parlimen Bentong) Young Syefura Othman sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
“Sejak keputusan diumum lewat petang 16 Mac lalu, banyak kecaman liar dilemparkan khususnya di media sosial. Ada yang tuduh kafir, murtad dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dia juga memetik beberapa komen berbentuk kecaman di media sosial yang menuduh mereka sebagai telah murtad serta mempersoalkan siapa yang akan menguruskan jenazah mereka kelak.

Sheikh Umar yang tidak terpilih sebagai anggota CEC DAP itu mengingatkan bahawa tohmahan sebegini bukanlah perkara baharu, kerana dia sendiri pernah mengalami situasi serupa ketika menyertai DAP sedekad yang lalu.
DAP bukan agama
Katanya, bahawa menyertai DAP tidak berkaitan dengan iktikad keislaman seseorang.
"DAP adalah sebuah wadah politik, bukan agama. Menyertai DAP tidak bermaksud seseorang keluar daripada Islam atau menganut agama lain.
“Mereka yang menuduh sedemikian mungkin terdiri daripada golongan yang jahil atau berfikiran ekstremis," katanya.
Dia turut mengingatkan bahawa menuduh seseorang Muslim sebagai kafir merupakan amalan takfiri yang dilarang dalam Islam.

Merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW, katanya jika seseorang menuduh saudaranya sebagai kafir, maka tuduhan itu akan kembali kepadanya jika ia tidak benar.
DAP iktiraf Islam sebagai agama Persekutuan
Selain itu, Sheikh Umar turut menegaskan bahawa DAP beroperasi mengikut lunas undang-undang dan menerima Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3(1) yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara.

"DAP tidak menentang Islam. Sebaliknya, kami menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan perjuangan kami adalah berlandaskan prinsip demokrasi serta kebebasan berpolitik," katanya.
Sehubungan itu, dia menyeru agar tuduhan tidak berasas terhadap ahli politik Muslim dalam DAP dihentikan serta-merta.