ADS
mk-logo
Berita
Bersih gesa Hajiji umum awal tarikh pembubaran DUN Sabah
Diterbitkan:  Mar 19, 2025 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor supaya mengumumkan lebih awal tarikh rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih, berkata, pengumuman itu penting bagi membolehkan pengundi yang berada di luar Sabah dapat merancang dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Mengumumkan secara rasmi tarikh pembubaran DUN Sabah lebih awal bagi memastikan semua pihak yang terlibat, terutama pengundi Sabah yang berada di luar Sabah untuk bekerja atau belajar, agar dapat membuat persiapan dan merancang perjalanan pulang ke Sabah bagi menunaikan hak mereka untuk memilih tampuk kepimpinan kerajaan Sabah.

"Pengumuman awal mengenai tarikh pembubaran DUN juga secara berkesan akan memberikan masa yang mencukupi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihak polis, dan pihak berkuasa yang terlibat untuk membuat persiapan logistik dan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.

ADS

"Selain itu, ia juga akan membantu semua pihak yang ingin bertanding dalam pilihan raya membuat persiapan agar kempen berjalan secara adil dan saksama," kata kenyataan itu.

Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai tempoh sehingga Oktober tahun ini sebelum DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ini bermakna pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau sehingga tempoh tamat.

Menurut Bersih, pada PRN15 yang lalu, peratusan turun mengundi hanyalah sekitar 66 peratus sahaja.

Manakala dapatan Institut Darul Ehsan (IDE), pada PRU-15 yang lalu pula menyaksikan peratusan turun mengundi yang rendah bagi anak muda di bawah umur 30 tahun, iaitu 56 peratus (pengundi berumur 18-24 tahun) dan 54.4 peratus (pengundi berumur 25-30 tahun).

"Bersih sendiri di dalam Laporan Pemantauan Pilihan Raya Umum ke-15, melaporkan bahawa hanya sejumlah 20 daripada 925 orang pelajar Sabah yang belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) yang dapat pulang mengundi di dalam PRU15.

"Malah, menurut kenyataan daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR (Sabah) dan juga merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud menyatakan bahawa terdapat 200,000 rakyat Sabah yang bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia.

"Jumlah ini bukanlah jumlah yang kecil dan kerajaan negeri Sabah perlu mengambil kira keperluan pengundi-pengundi Sabah yang berada di luar Sabah untuk menjalankan tanggungjawab demokratik mereka.

"Ketiadaan tarikh yang jelas akan menyukarkan pengundi luar merancang perjalanan mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu menempah tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan harga yang terlampau tinggi," katanya.

Menurutnya, tiket penerbangan boleh mencecah ribuan ringgit dan menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi kerana kos perjalanan yang tinggi serta kekangan cuti bekerja atau belajar.

"Oleh itu, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi dan tidak mengabaikan hak politik rakyat Sabah yang berada di luar negeri," kata jawatankuasa itu.

Tegas Bersih, mengundi adalah hak asasi setiap warga negara, dan sebarang halangan kepada akses pengundian mesti diminimumkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS