ADS
mk-logo
Berita
Proses ambil keterangan Ismail Sabri sambung esok - SPRM
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Proses merakam keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau disambung esok pada 10 pagi.

Kenderaan membawa ahli Parlimen Bera itu dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4.30 petang setelah tujuh jam memberi keterangan.

Menurut sumber SPRM, proses merakam keterangan mengambil masa memandangkan ada pelbagai dokumen yang sedang diteliti dan keterangan lanjut perlu diambil.

Menurutnya lagi, pegawai penyiasat memerlukan masa mengambil keterangan Ismail Sabri berhubung beberapa perkara penting, termasuk kelulusan projek yang dilaksanakan ketika pentadbirannya serta aset yang diisytiharkan beliau.

ADS

Sumber itu memaklumkan tumpuan utama siasatan adalah terhadap dokumen berkaitan perolehan serta perbelanjaan dana bagi promosi dan publisiti kerajaan ketika tempoh perkhidmatan Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Terdahulu, Ismail Sabri tiba di SPRM pada 9.52 pagi. Kehadiran beliau merupakan kali keempat bagi tujuan memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS