Menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP esok, pengerusi parti Lim Guan Eng menolak spekulasi yang mendakwa dia akan menarik diri daripada menyertai senarai 70 calon yang sudah mengesahkan bertanding.
Menyatakan pendiriannya di Facebook, Lim memetik pelbagai sumber yang disifatkannya sebagai "laporan media tidak berasas" serta "maklumat palsu" berhubung penyertaan dalam pemilihan berkenaan.
“Biar saya jelaskan – Guan Eng tidak akan sekali-kali menarik diri daripada pemilihan.
“Masa depan saya akan ditentukan sendiri oleh ahli DAP.
"Terima kasih kepada ahli parti atas keprihatinan anda. Jumpa anda semua di kongres (esok)," katanya.
Lim berkata demikian sebagai reaksiinya terhadap beberapa laporan media berbahasa Cina malam tadi.
Dalam laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu, Lim didakwa akan mengumumkan penarikan diri daripada perlumbaan CEC.
Menjelang detik penentuan di Shah Alam esok, pemilihan kali ini dibayangi oleh pelbagai spekulasi khususnya cubaan mengetepikan Ahli Parlimen Bagan tersebut daripada CEC.
Pernah menjadi setiausaha agung kepada parti berkenaan selama hampir 18 tahun, dalam keadaan tertentu Lim juga dirujuk sebagai “tokong” ekoran pengaruh yang ada padanya.
Dia juga berdepan dengan gerakan kempen dalaman dikenali sebagai “Hantar Dewa Pulang” sebagai usaha mengetepikannya daripada CEC.
Seramai 4,203 perwakilan mewakili 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam esok.
Lim dijadual menyampaikan ucapan perasmian selaku pengerusi kebangsaan, diikuti ucapan dasar oleh setiausaha agung, Anthony Loke. Pengundian akan berlangsung sesudah itu.
Perwakilan akan 70 calon yang bertanding untuk mengisi 31 tempat dalam CEC bagi penggal 2025 – 2028.
Selepas itu 30 ahli CEC yang terpilih akan bersidang sesama sendiri bagi menentukan pucuk pimpinan parti, termasuk jawatan setiausaha agung.