ADS
mk-logo
Berita
Dr M: Tutup GISBH, hancurkan perniagaan Melayu Islam
Diterbitkan:  Mar 15, 2025 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan tindakan kerajaan dalam menangani isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang disifatkannya sebagai “membunuh” perniagaan Melayu Islam.

Menurut Mahathir, jika GISBH didapati mempunyai penyelewengan dalam fahaman agama maka sepatutnya yang diperbetulkan aspek agamanya bukan menutup perniagaan mereka.

GISBH, katanya merupakan syarikat Bumiputera yang berjaya sehingga mampu mengembangkan perniagaan ke 21 buah negara.

“Nilai (perniagaan) mereka (GISBH) RM250 juta, mungkin fahaman mereka itu boleh dipersoal... Dulu dengan al-Arqam kita tak tangkap masuk penjara Arqam... kita cuma bawa mereka dengar syarahan agama yang betul.

ADS

"Tapi kali ini kita dapati syarikat ini terbabit jenayah terancang, kononnya ada kursus liwat, bolehkah kita percaya ada orang buat kursus liwat?

“Lepas tu kononnya syarikat ini tak bayar cukai, (tapi) LHDN kata bayar. Jadi, apa kesalahan yang dia buat selain (kesalahan) agama?

"Berkenaan agama kita betulkan agama, seperti mana kita betulkan al-Arqam dulu. Tetapi ini, operasi syarikat ini dikenali sebagai jenayah terancang. Eh, jenayah terancang di Amerika Syarikat dia bunuh orang, curi, samun... saya tak nampak ada kes kononnya dia (GISBH) bunuh orang, curi, samun.

"Mereka boleh dikatakan konglomerat yang berjaya, tapi kita ambil tindakan tutup semua (perniagaan)... bila buat macam ini, bukan sahaja mereka menderita, pekerja mereka menderita tak ada kerja, bukan itu sahaja kita rosakkan sebuah syarikat Bumiputera,” katanya melalui Podcast Dr. M, hari ini.

ADS

Mahathir bersetuju bahawa jika GISBH bersalah, tindakan perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

Pada 23 Oktober tahun lalu, pengurusan tertinggi GISBH dan isteri mereka adalah antara 22 individu yang akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata pertuduhan itu dibuat selepas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Turut akan didakwa mengikut pertuduhan yang sama esok (hari ini) ialah anak kepada pengasas Al-Arqam, dan kesemua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin, mendedahkan bahawa pemimpin tertinggi GISBH adalah antara 58 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Setakat ini:

  • 35 individu masih dalam tahanan reman

  • 273 individu dibebaskan dengan jaminan

  • ADS

    37 individu dibebaskan tanpa syarat

  • 2 individu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah

  • 1 individu diserahkan kepada Imigresen untuk pengusiran

‘Bailout’ Sapura

Dalam isu lain, Mahathir turut mengulas mengenai "bailout" yang dilakukan semasa pemerintahannya.

Apabila ditanya mengenai tindakan kerajaan Madani menyuntik dana bagi menyelamatkan Sapura Energy, Mahathir menegaskan pendiriannya mengenai bailout tetap konsisten.

Menurut Mahathir langkah tersebut bukan semata-mata untuk menyelamatkan syarikat tetapi juga bagi menjaga kebajikan pekerja serta pihak berkepentingan lain.

Beliau menafikan tuduhan bahawa tindakan bailout ketika itu bertujuan membantu kroni, seperti didakwa oleh pengkritiknya.

"Seperti yang saya sebutkan tadi, syarikat bukan hak pemilik sahaja, pekerja juga ada kepentingan dalam syarikat... kadang-kadang ia melibatkan bank, kalau dia bankrap, syarikat tak boleh bayar pinjaman... banyak pihak terlibat sebab itu kita timbang patut diselamatkan atau biar jadi bankrap.

"Bila syarikat bankrap, dia tak bayar cukai, kita nak syarikat (beri) 26 peratus kepada kita (cukai). Jadi macam kerajaan juga bayar sebab kita hilang cukai,” katanya lagi.

Mahathir turut menjelaskan bahawa Amerika Syarikat sendiri sering melakukan bailout bagi menyelamatkan ekonomi mereka apabila syarikat strategik menghadapi masalah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS