Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi memberi peringatan kepada Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz agar tidak mempermainkan Umno dan menjadikannya sebagai persinggahan sementara dalam kerjaya politik.
“Menurut Tengku Zafrul selepas dia berjumpa Zahid, dia mahu teruskan kerja. Apakah itu signal dia tidak jadi keluar Umno? Apakah dia insaf atau menunggu suhu sedikit reda?
"Kenapa dia mahu keluar Umno? Dia mahu jawatan Menteri Kabinet kekal?
“Sebenarnya orang Umno tidak kisah kalau dia mahu pergi. Jangan main mainkan Umno. Umno bukan transit politik," katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Puad mengulas kenyataan Tengku Zafrul semalam, yang menyatakan fokusnya kini untuk kembali bekerja seperti biasa selepas pertemuannya dengan Presiden UmnoAhmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Perjumpaan tersebut dipercayai berkaitan dengan spekulasi Tengku Zafrul akan keluar dari Umno dan menyertai PKR.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan telah menasihati menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu agar tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan.
Pada Disember tahun lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul.

Anwar berkata PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu asalkan mereka mampu memberi sumbangan kepada parti.
Namun begitu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan Umno tidak akan menerima atau membenarkan amalan lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran.
Pada 10 Februari lalu, Tengku Zafrul berkata dia akan berbincang dengan Zahid terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Status sangkut di PKR?
Mengulas lanjut, Puad Zarkashi mendakwa hasrat Tengku Zafrul untuk menyertai PKR bukan lagi rahsia, tetapi prosesnya masih tertangguh.
“Tengku Zafrul banyak kali tidak hadir mesyuarat MKT. Mesyuarat MKT dua hari lepas dia turut tidak hadir.
"Bukan rahsia dia memang mahu menyertai PKR. Tetapi tersangkut tengah jalan kerana bocor lebih awal.
"PKR takut dituduh tikam belakang UMNO. Maka difahamkan keahliannya dalam PKR berstatus pending,” kata Puad.