Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Najib mohon tahanan rumah - 6 sorotan utama

Berikutan keputusan 2-1 oleh Mahkamah Rayuan hari ini, bekas Perdana Menteri Najib Razak kini semakin hampir untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Berikut penerangan mengenai apa yang berlaku di mahkamah hari ini.

Satu lagi halangan buat Najib?

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak kebenaran untuk semakan kehakiman, dengan Najib cuba memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini untuk membolehkan dia menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Namun, ini tidak bermakna Najib boleh terus menjalani hukuman di rumah.

Sebaliknya, keputusan hari ini bermaksud mahkamah bersetuju mendengar merit kes Najib dan akan membuat keputusan berdasarkan hal tersebut.

Ini bermakna Najib masih perlu melepasi satu lagi halangan.

Sebelum ini, pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan izin memulakan semakan kehakiman.

Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan perkara tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit semakan kehakiman berkenaan.

Kenapa hakim membuat keputusan ini?

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Azizah Nawawi membuat keputusan memihak kepada Najib dengan keputusan 2-1.

Hakim Azizah memberikan keputusan yang menolak rayuan manakala dua hakim lain Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan majoriti.

Ketika membacakan keputusan majoriti, Firuz berkata menteri dalam negeri, kerajaan dan beberapa responden lain tidak mencabar kewujudan atau kesahihan dokumen tambahan titah adendum tersebut.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh hadir himpunan solidariti Najib di hadapan mahkamah di Putarajaya hari ini.

Firuz berkata permohonan kebenaran hanya perlu menunjukkan terdapat kes yang boleh diperdebatkan untuk diteruskan.

Oleh itu, Mahkamah Rayuan memutuskan semakan kehakiman Najib perlu dinilai berdasarkan merit di Mahkamah Tinggi.

Apa lagi hakim kata?

Firuz menyatakan dia "sangat terganggu" kerana kerajaan dan responden lain tidak pernah secara langsung menafikan kewujudan dokumen tambahan titah adendum itu dalam penghujahan bertulis mereka.

Hakim itu juga menunjukkan hujah peguam kerajaan lebih tertumpu kepada isu teknikal undang-undang daripada menyangkal kewujudan dokumen berkenaan.

Dalam penghakiman berbeza pendapatnya, Hakim Azizah pula bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib.

Tegas hakim itu beberapa afidavit yang menyokong dakwaan dokumen tambahan titah adendum oleh perayu bersifat khabar angin semata-mata.

Apa sebenarnya dokumen titah adendum itu?

Dokumen tambahan titah adendum yang menjadi tumpuan pendengaran mahkamah hari ini didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 29 Januari tahun lalu.

Dokumen titah adendum ini dikatakan sebagai tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara Najib dari 12 tahun dan denda RM210 juta ke enam tahun penjara serta denda RM50 juta.

Hukuman ini berkaitan kes salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Kerajaan sehingga kini enggan mengesahkan sama ada dokumen tambahan itu wujud atau tidak.

Semasa prosiding hari ini, sepucuk surat dari Istana Pahang dikemukakan, yang mengesahkan Sultan Abdullah mengeluarkan titah arahan tambahan untuk Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Namun, peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan menyatakan mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun lalu tidak membincangkan sebarang dokumen tambahan titah diraja berkaitan Najib.

Sebaliknya, lembaga hanya membincangkan nasihat titah diraja mengenai kemungkinan pengurangan hukuman penjara dan denda Najib.

Pada sidang media petang ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Jabatan Penjara hanya menerima arahan mengenai pengurangan hukuman Najib, tetapi tidak pernah menerima dokumen tambahan untuk tahanan rumah.

Apa seterusnya?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menetapkan tarikh untuk mendengar merit semakan kehakiman yang dimohon oleh Najib.

Jika Mahkamah Tinggi memihak kepada Najib, dia boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Jika tidak, Najib perlu meneruskan hukuman penjara di penjara.

Apa lagi yang sedang berlaku?

Mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib.

Namun, pada 3 Januari, Istana Negara menyatakan jika mana-mana pihak ingin memohon pengampunan untuk banduan, permohonan tersebut mesti dibuat oleh individu yang disabitkan kesalahan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat seterusnya untuk pertimbangan.

[Baca artikel asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS