Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Titah tahanan rumah tiada dalam surat kepada penjara - Saifuddin

Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong berkaitan tahanan rumah kepada Najib Razak, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya, beberapa jam selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah itu.

Saifuddin berkata, surat bertarikh 2 Feb 24 kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan hanya menyebut berkaitan pengurangan hukuman dan denda.

“Tidak ada yang menyebut tentang tahanan rumah,” katanya di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang ini.

Mahkamah Rayuan tengah hari tadi membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah tambahan itu.

Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Nizar serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah itu. 

Titah tambahan itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Menurutnya, surat kepada Jabatan Penjara dihantar oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, turut dilampirkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan. Bagaimanapun ia tidak dapat dikongsi dengan media susulan status sulitnya.

Saifuddin berkata, surat itu ditandatangani oleh Agong selaku pengerusi Lembaga Pengampunan dan Zaliha Mustafa sebagai menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, sebagai saksi.

Perintah itu, dedah Saifuddin, berbunyi:

“Maka oleh yang demikian beta Sultan Abdullah dalam menjalankan kuasa yang terletak hak pada beta oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, dan semua kuasa lain yang membolehkan bagi maksud itu, adalah dengan ini memerintahkan bahawa Datuk Seri Najib Abdul Razak dibebaskan pada tarikh pembebasan awal 23 Ogos 2028, dan denda dikurangkan kepada RM50 juta, sekiranya denda tak dibayar tempoh penjara Najib ditambah selama setahun iaitu 23 Ogos 2029.”

Justeru, katanya, KDN mematuhi perintah itu. 

"Jadi, ini sahaja kami terima. Surat itu hanya menyebut dua perkara. 

“Bagaimana, nak jalankan tahanan rumah sekiranya tidak ada perintah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS