Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir malu tiga bekas menteri PH 'berbohong'
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 1:59 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Dr Mahathir Mohamad menyatakan rasa malunya kerana pernah mempunyai menteri yang "berbohong" ketika dia menerajui kerajaan PH pada 2018.

Dakwanya, tiga menteri kabinet itu tidak bercakap benar mengenai keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh.

"Entah macam mana minit (mesyuarat) kabinet bocor dan minit kabinet menunjuk bahawa dakwaan tiga menteri itu tidak benar, bohong.

"Saya berasa malu kerana orang ini duduk bawah saya dulu, semasa kabinet saya tetapi berbohong," katanya kepada media selepas melepaskan Konvoi Misi Kemanusiaan Pascabanjir di Putrajaya, hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang sebelum ini mendakwa Mahathir membuat keputusan mengenai batuan dipertikaikan itu tanpa merujuk jemaah menteri.

Terdahulu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Mahathir.

Dalam laporan - yang dinyahklasifikasikan di parlimen pada 5 Dis lalu - RCI menuduh Mahathir menipu kabinet pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.

Dalam kenyataan bersama, Azizah, Mohamad dan Loke mengesahkan Mahthir membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan negara dalam tuntutan Pulau Batu Puteh.

Mereka berkata Mahathir hanya memaklumkan kepada kabinet selepas keputusan tersebut dibuat.

Bagaimanapun menerusi minit kabinet yang diterima oleh Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, mengesahkan ia adalah keputusan bersama kabinet ketika itu.

Mahathir berkata dia yakin sudah melakukan segala-galanya dengan teratur berhubung keputusan untuk menarik balik rayuan itu.

“Tetapi (mereka) masih mahu mengatakan bahawa saya membuat keputusan secara unilateral, bukan kabinet.

"Jika saya mahu membuat keputusan, saya tidak akan mengatakan bahawa itu adalah pendapat saya.

“Saya kata, kami sudah putuskan untuk tidak teruskan kes ini, boleh bagitahu kepada Singapura," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS