Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas lebih lima dekad dalam politik, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, telah mencapai kedudukan kuasa di peringkat negeri dan persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh selama sembilan penggal itu, yang pertama kali dipilih pada tahun 1978, pernah menjadi Menteri Besar Johor serta memegang pelbagai jawatan kementerian persekutuan sebelum pergolakan politik pasca PRU-14 pada 2018 yang menyaksikan dia dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.

PN, yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan sebagai parti komponen, secara rasmi didaftarkan pada 7 Ogos 2020, lima bulan selepas Muhyiddin memulakan tempoh 17 bulan pentadbirannya di Putrajaya, yang berakhir dengan peletakan jawatannya selepas kehilangan sokongan di Parlimen.

Muhyiddin telah dinamakan sebagai “poster boy” PN dalam pilihan raya negeri Sabah yang berikutnya dan PRU-15, namun perselisihan kenyataan antara pemimpin Bersatu, PAS, dan Gerakan baru-baru ini menimbulkan persoalan baru sama ada dia sekali lagi akan menjadi calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Dalam satu wawancara bersama Malaysiakini, Muhyiddin menyatakan bahawa para pemimpin bebas menyuarakan pendapat masing-masing, tetapi keputusan muktamad, yang dia sedia terima, hanya akan dibuat dalam mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi PN.

“Kami tidak mahu debat di sini. Saya rasa tidak adil untuk bincang soal 'ya atau tidak' dengan saya. Biar mereka (Majlis Tertinggi PN) debat dan berbincang.

“Saya boleh keluar dari bilik mesyuarat dan kata ‘kamu (semua) bincanglah’,” kata Muhyiddin ketika ditemui di pejabatnya di tingkat 30 sebuah bangunan berkaitan kerajaan di Kuala Lumpur.

Majlis Tertinggi PN terdiri daripada presiden, timbalan presiden, naib presiden, dan setiausaha agung parti-parti komponen, yang sejak April 2022 turut melibatkan Parti Makkal Sakti Malaysia (MIPP).

Jumaat lalu, Musyidul Am PAS, Hashim Jasin, menyatakan bahawa PAS lebih sesuai berbanding Bersatu untuk memimpin PN, memandangkan parti itu memiliki 41 ahli parlimen, jumlah kerusi terbanyak, serta rangkaian akar umbi yang lebih kukuh di seluruh negara.

Kenyataan Hashim adalah respons kepada Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, yang menegaskan status Muhyiddin sebagai “poster boy” dan meminta agar pihak lain dalam PN “berhenti bermimpi” untuk menjadi perdana menteri.

Presiden Gerakan, Dominic Lau, kemudiannya berkata dia akan membangkitkan bantahan partinya terhadap kenyataan Hashim dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang akan datang, dengan hujah bahawa landskap politik kini memerlukan gabungan untuk membentuk kerjasama dengan gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan.

“Tak apa, dia (Lau) sudah cakap di luar, dia boleh cakap lagi (dalam mesyuarat),” kata Muhyiddin.

“Kami tiada perselisihan, tetapi sepatutnya ada kawalan sedikit.

“Mereka (Gerakan) boleh bangkitkan, dan kami boleh berbincang. Saya terbuka. Jika ada yang berkata orang lain calon lebih baik, dan semua bersetuju, baik. Saya tiada masalah,” kata Muhyiddin yang terkejut dengan perhatian yang diberikan terhadap calon prdana menteri PN.

“Mungkin ini satu bentuk pengiktirafan bahawa kami ada kepimpinan. Sebab itu orang berminat untuk tahu.

“Tetapi tidak mengapa, prinsipnya mudah. Semua keputusan ini bukan dibuat oleh saya. Ia keputusan Majlis Tertinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata adalah tidak adil untuknya memberi komen sama ada PAS boleh mendapat sokongan yang sama sepertinya sekiranya seorang pemimpin daripada parti Islam itu dinamakan sebagai calon Perdana Menteri PN.

“Saya rasa pemimpin PAS juga seorang yang berfikiran ke hadapan. Jangan pandang rendah kecerdasan mereka dalam politik.

“Mereka sudah berada di sini bertahun-tahun, mereka mentadbir kerajaan. Mereka pernah bersama saya sebelum ini. Jadi jangan pandang rendah mereka,” tegasnya.

“Apabila seseorang (dari PAS) berkata sesuatu seperti itu (calon PM), ada asas tertentu.

“Tetapi pada akhirnya, pemimpin dalam PN yang membuat keputusan demi kebaikan parti-parti dalam PN,” tambahnya.

Muhyiddin menjelaskan bahawa perbincangan Majlis Tertinggi PN perlu mengambil kira faktor dalaman dan luaran, dengan penerimaan pengundi menjadi faktor penentu yang penting.

“Sebagai contoh, jika mereka (Majlis Tertinggi PN) mahu menamakan seseorang, mereka perlu menilai sama ada individu itu diterima bukan sahaja oleh kita (dalam PN), tetapi juga, adakah rakyat menerimanya?

“Akhirnya, parti-parti bukan yang mengundi kita (ke dalam kerajaan), tetapi rakyat. Dan jika rakyat tidak percaya kepada individu yang mahu memimpin, adakah anda fikir kami (PN) boleh menang?” soalnya.

“Kita perlu pragmatik, (keputusan) mesti berdasarkan pemahaman yang betul tentang pemikiran dan kehendak rakyat, selain kemampuan, kebolehan, pengetahuan, pengurusan ekonomi dan sebagainya,” kata Muhyiddin sambil menambah, “Saya tidak kata saya memiliki semua perkara itu.”

"Saya tak akan buat keputusan yang ada kaitan dengan saya dan saya hadir di mesyuarat itu. Saya boleh duduk luar.

“Biar mereka berbincang dan saya akan terima apa sahaja keputusan. Kerana saya tahu mereka boleh buat keputusan.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS