Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
19 Dis tentukan batal atau tidak kes Rosmah
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 1:37 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Disember akan menentukan sama ada kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta membabitkan Rosmah Mansor akan dibatalkan.

Hakim K Muniandy dijadualkan menyambung perbicaraan terhadap isteri bekas perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak, sekiranya permohonan pembatalan kes itu ditolak.

Mahkamah jenayah itu menetapkan tarikh keputusanitu  selepas mendengar hujahan lisan daripada pasukan peguam Rosmah - Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Amer Hamzah Arshad - serta pasukan pendakwaan yang diketuai oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.

Pendengaran permohonan pembatalan kes ini mula dibicarakan pada 12 Disember tahun lepas, selepas kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai ini dijalankan separuh jalan dengan saksi-saksi pendakwaan memberi keterangan.

Peguam Rosmah berpendapat bahawa 12 pertuduhan bawah Akta Pengubahan Wang Haram (Amla) dan lima pertuduhan bawah Akta Cukai Pendapatan adalah tidak berasas, cacat, pramatang, dan tidak mendedahkan sebarang kesalahan undang-undang.

Bagaimanapun, awal hari ini, pihak pendakwaan berhujah bahawa 17 pertuduhan jenayah itu adalah sah di sisi undang-undang dan mengandungi maklumat cukup bagi memberitahu tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa terhadapnya, agar dia dapat menyediakan pembelaan sewajarnya.

Pertuduhan terhadap Rosmah

Kes melibatkan tertuduh yang berusia 72 tahun itu merangkumi 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan-kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017, serta di pejabat LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, KL, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Individu yang disabitkan kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta tersebut dengan penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan pengelakan cukai di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 mendakwa bahawa Rosmah gagal mengemukakan penyata pendapatan untuk tahun-tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2018 tanpa alasan munasabah, yang melanggar Seksyen 112 akta tersebut.

Sebelum ini, Rosmah turut disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes rasuah berkaitan projek tenaga solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Namun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara dan denda itu.

Rayuan kes solar Rosmah dijadualkan untuk pengurusan kes di mahkamah rayuan pada 7 November.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS