Calon Republikan, Donald Trump menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) apabila berjaya melepasi majoriti 270 undi elektoral yang diperlukan untuk memenangi jawatan itu.
Menurut AP, bekas presiden itu memenangi 277 undi elektoral berbanding 224 yang diperolehi oleh pesaingnya dari Demokrat, Kamala Harris.
Trump memenangi 70,878,816 undi atau kira-kira 51 peratus berbanding Kamala yang mendapat 65,963,074 undi atau 47.5 peratus.
CNN juga melaporkan Trump akan kembali ke Rumah Putih dengan unjurannya calon Republikan itu telah mendapat 276 undi elektoral berbanding Kamala yang memenangi 219 undi elektoral.
Sebelum ini, Agensi Anadolu yang memetik Fox News, yang lazimnya memihak kepada Trump dan Republikan, bekas presiden itu telah menewaskan Harris dan sekali gus bakal dipilih sebagai presiden AS ke-47.
Antara negeri-negeri penting yang dimenangi oleh Trump, termasuk Carolina Utara, Georgia, Pennsylvania, dan Wisconsin, serta negeri-negeri lain seperti Indiana, Kentucky, Virginia Barat, Florida, Tennessee, Carolina Selatan, Oklahoma, Mississippi, Alabama, Arkansas, Dakota Utara, Dakota Selatan, Wyoming, Nebraska, Louisiana, Ohio, Texas, Missouri, Utah, Montana, Kansas, Iowa dan Idaho.
AS mempunyai 538 kerusi elektoral dan untuk memenangi jawatan presiden, seseorang calon itu mesti memperoleh sekurang-kurangnya 270.
Antara negeri-negeri penting yang dimenangi oleh Trump, termasuk Carolina Utara, Georgia, Pennsylvania, dan Wisconsin, serta negeri-negeri lain seperti Indiana, Kentucky, Virginia Barat, Florida, Tennessee, Carolina Selatan, Oklahoma, Mississippi, Alabama, Arkansas, Dakota Utara, Dakota Selatan, Wyoming, Nebraska, Louisiana, Ohio, Texas, Missouri, Utah, Montana, Kansas, Iowa dan Idaho.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika atas penghormatan luar biasa dipilih sebagai presiden ke-47 dan presiden ke-45 anda.
"Ini adalah kemenangan hebat untuk rakyat Amerika yang akan membolehkan kita menjadikan Amerika hebat semula," kata Trump yang dipetik CNN ketika berucap kepada penyokongnya di Florida.
Trump pertama kali dipilih sebagai presiden pada 2016, mengalahkan bekas setiausaha negara Hillary Clinton.
Pada pilihan raya presiden AS 2020, dia beliau dikalahkan oleh calon Demokrat Joe Biden, yang ketika itu adalah naib presiden semasa pentadbiran Presiden Barack Obama.
Kemenangan hari ini bakal menjadikan Trump satu-satunya presiden AS yang berkhidmat secara tidak berturut-turut, selepas Grover Cleveland, yang berkhidmat dua penggal pada akhir 1800-an.
Sehingga Julai, Trump bersaing dengan Biden, yang ketika itu mahu meneruskan untuk penggal kedua.
Selepas prestasi yang kurang memuaskan dalam debat pada Jun menentang Trump, Biden menghadapi tekanan untuk menarik diri daripada pertandingan, yang akhirnya beliau lakukan beberapa minggu kemudian dengan memberi sokongan kepada Kamala Harris, naib presidennya.
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan beberapa pemimpin dunia mula mengucapkan tahniah kepada Trump atas kemenangannya.
Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata dia sedia bekerja dengan rasa 'hormat' seperti ketika Trump menjadi presiden AS sebelum ini.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga mengucapkan tahniah kepada Trump "atas kehadiran semula terbesar dalam sejarah".
Canselor Austria Karl Nehammer berkata dia berharap untuk "memperluas dan mengukuhkan lagi hubungan trans-Atlantik kami untuk berjaya menangani cabaran global bersama-sama".
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning dalam sidang media berkata, China berharap akan wujudnya "kebersamaan yang aman" dengan AS.
"Kami akan terus mendekati dan menangani hubungan China-AS berdasarkan prinsip saling menghormati, kebersamaan yang aman dan kerjasama yang saling menguntungkan.
"Kami menghormati pilihan rakyat AS," katanya.
Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutter berkata, kemenangan Trump akan menguatkan lagi organisasi itu.
"Kempemimpinan Trump akan menjadi kunci utama kekuatan pertubuhan ini dan saya berharap dapat bekerjasama dengannya sekali lagi untuk meningkatkan keamanan bersama NATO," katanya.
Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mengucapkan tahniah kepada kemenangan Trump.
"Setinggi-tinggi tahniah sahabatku @realDonaldTrump atas kemenangan bersejarah dalam pilihan raya.
"Semasa anda membina kejayaan dari penggal sebelumnya, saya berharap untuk memperbaharui kerjasama kita," kata Modi di platform media sosial X.