Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP tuduh PN sebar surat gesa pengundi Cina Mahkota tolak Umno

Ketika pilihan raya kecil (PRK) Mahkota semakin rancak, terdapat perbuatan memasukkan surat layang ke dalam peti surat bagi meminta pengundi Cina menolak calon Umno, Syed Hussien Syed Abdullah.

Ahli Parlimen Kluang dari DAP, Wong Shu Qi, berkata surat-surat tersebut ditulis dalam bahasa Cina bertajuk “Seruan kepada pengundi dalam pilihan raya kecil Mahkota: Kami harap untuk melihat layanan adil untuk semua rakyat di Johor”.

Surat tersebut dikeluarkan oleh “Rakyat Kluang, Johor, dan penyokong Pakatan Harapan, Lin Wei Jie”.

Wong berkata, perbuatan itu mungkin merupakan perang psikologi yang dirancang oleh PN dan menyifatkannya sebagai "taktik kotor."

Dia juga berkata terdapat aduan mengenai individu yang datang rumah ke rumah pada lewat malam, dan menyelitkan surat berkenaan ke dalam peti surat.

Tambahnya, kawasan yang menjadi sasaran adalah kawasan majoriti pengundi Cina seperti Taman Lian Seng dan Taman Sri Kluang.

“Saya mengesyaki secara munasabah bahawa surat tanpa nama ini adalah kerja PN, kerana mereka berharap untuk menghalang pengundi Cina daripada keluar mengundi, yang akan meningkatkan peluang mereka untuk menang,” kata Wong.

Dia juga mendakwa PN tiada modal politik dan sedar mereka tidak dapat memenangi undi Cina, dan kerana itu mereka terpaksa menggunakan taktik terdesak.

Surat itu menyebut bahawa Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, sering membangkitkan isu sensitif untuk memprovokasi sentimen perkauman.

Ia juga menyeru pengundi menggunakan pilihan raya kecil ini untuk memberi pengajaran kepada Umno, dengan menegaskan bahawa kekalahan BN di Mahkota tidak akan menjejaskan kerajaan persekutuan atau negeri memandangkan PN adalah pembangkang di Johor.

"Jika Umno kalah, biarkan mereka tidak lagi sombong dan bertindak sesuka hati. Ini adalah amaran. Kita perlukan semak dan imbang terhadap kerajaan," menurut surat berkenaan.

Surat itu juga menyatakan harapan agar agenda dan tuntutan mereka didengar dengan lebih baik oleh kerajaan persekutuan atau negeri, selain menyatakan mereka sayangkan DAP tetapi tidak boleh membiarkan parti itu bertindak sewenang-wenangnya.

Kontroversi Akmal

Apabila ditanya sama ada isu mengenai Akmal yang dibangkitkan dalam surat itu akan menjejaskan strategi kempen PH, Wong enggan memberi komen dan menyerahkan kepada Umno menjawab perkara itu.

“Saya rasa lebih baik tanya Umno tentang perkara ini... Saya tiada pendapat,” katanya.

Akmal sebelum ini bertelagah dengan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, mengenai isu kontroversi untuk mewajibkan pensijilan halal di premis makanan yang tidak menjual daging khizir dan alkohol

Akmal menggelar Kok sebagai 'Nyonya tua" dan mencadangkan agar logo “non-halal” ditampal di dahi Kok, sekali gus menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat Cina.

Walaupun terdapat khabar angin Umno akan menghalang Akmal daripada berkempen di Mahkota bagi mengelakkan kehilangan undi Cina, ahli majlis tertinggi Umno, Ahmad Maslan, menafikan hal ini.

Akmal juga hadir di Mahkota untuk berkempen bagi calon BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS