Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan perlu campur tangan isu pertikaian pekebun durian, Petronas – Zaid
Diterbitkan:  Sep 10, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim agar campur tangan dalam pertikaian antara pekebun durian tani Musang King di Raub dengan kerajaan negeri Pahang.

Dia turut menggesa kerajaan pusat melakukan perkara yang sama dalam pertikaian yang membabitkan Petronas dengan kerajaan negeri Sarawak.

“Mengapa kerajaan persekutuan hanya duduk diam dan tidak cuba menyelesaikan pertikaian itu?

"Ini adalah perkara berkepentingan awam yang mereka harus campur tangan untuk melindungi kepentingan industri durian, pekebun dan, sudah tentu, sumber negara," katanya dalam satu hantaran di X.

Semalam, Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) mengadakan perhimpunan, dan menuntut satu pertemuan  dengan perdana menteri untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Masalah mereka bermula pada 2020, apabila kerajaan negeri Pahang membentuk usaha sama dengan syarikat swasta, Royal Pahang Durian Resources (RPDR), untuk mengawal selia penanaman durian di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, usaha sama itu didakwa memberi manfaat yang tidak seimbang kepada konsortium tersebut.

Samka mendakwa susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan semakan kehakiman pekebun durian pada 24 April, mereka menghadapi kesukaran, dengan tekanan serta gangguan yang kerap daripada kerajaan negeri, konsortium dan agensi penguatkuasaan.

Berkongsi pandangannya mengenai isu pekebun durian, Zaid berkata adalah mustahil untuk mereka dapat mengusahakan tanah tersebut selama bertahun-tahun tanpa persefahaman dengan pihak berkuasa tempatan.

“Jika ikut peraturan dan undang-undang, pekebun durian di Raub mungkin menceroboh tanah negeri dan tidak mempunyai lesen kepentingan ekuiti.

"Tetapi mana mungkin mereka tanam Musang King selama bertahun-tahun tanpa restu pejabat tanah atau mendapat beberapa pengecualian,”  dakwanya.

'Cara Malaysia'

Menurut Zaid kadangkala keadaan berfungsi di negara ini, melalui apa yang disebut sebagai "cara Malaysia".

“Kita semua mempunyai pengalaman berurusan dengan pihak berkuasa mengikut cara Malaysia. Kita memohon dahulu apa sahaja yang kita mahu (dalam kes ini, pajakan dari negeri), kemudian teruskan dengan menanam durian sementara menunggu jawapan.

“Tiada jawapan diterima selama bertahun-tahun. Kemudian, satu hari, perintah mahkamah datang dengan arahan supaya aktiviti itu dihentikan,” katanya.

Menawarkan penyelesaian, Zaid mencadangkan kerajaan memperoleh tanah terbabit dan meminta pekebun dan pemilik baharunya bersetuju dengan cara terbaik untuk bergerak ke hadapan.

“Kemukakan cadangan yang wajar yang adil kepada semua orang.

“Ia adalah situasi menang-menang, termasuk bagi kerajaan persekutuan, yang akan mengutip banyak cukai daripada penjualan durian ke China,” katanya.

'Belajar daripada isu pekebun durian'

Sementara itu, Zaid menggesa kerajaan negeri Sarawak dan Petronas mengambil iktibar daripada isu pekebun  durian dan menyelesaikan kebuntuan melibatkan penggalian minyak dari wilayah itu.

“Saya berharap Petronas dan Sarawak akan belajar daripada pertikaian durian di Raub dan cuba merundingkan kebuntuan mengenai penggalian minyak, yang merupakan satu-satunya cara yang wajar.

“Tuntutan Petronas mengenai hak eksklusif untuk pengekstrakan minyak dan gas mesti dilihat dalam konteks undang-undang Sarawak apabila ia menyertai Malaysia,” tegasnya.

Bekas menteri itu berkata bahawa pihak yang bertikai seharusnya hanya menggunakan mahkamah sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah mereka. Tambahnya, peguam mungkin bukan perisai terbaik apabila penyelesaian secara aman diperlukan.

"Jika tidak, negara bukan sahaja akan kehilangan Musang King tetapi juga hasil minyak, yang kita sangat perlukan,”  kata Zaid.

Tiga hari lalu, Channel News Asia melaporkan bahawa Petronas sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk mengekalkan monopolinya sebagai penjaga tunggal sumber asli negara.

Ini susulan tindakan Sarawak yang menuntut kawalan yang lebih luas ke atas perdagangan dan pengekstrakan gas serta produk berkaitan minyak lain di negeri itu.

Pegawai kerajaan yang rapat dengan situasi itu memberitahu CNA bahawa Petronas sedang mempertimbangkan untuk memfailkan injunksi mahkamah dalam beberapa hari akan datang untuk mengelak sebarang konfrontasi antara pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS