Penggunaan hidrogen rendah karbon semakin mendapat perhatian sebagai sumber tenaga bersih yang berpotensi menggantikan bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Namun, saintis Malaysia mempunyai banyak peranan dan cabaran walaupun potensi besar yang ditawarkan oleh hidrogen ini.
Dalam pelaksanaan dan panduan Dasar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menyokong penyediaan rangka kerja yang mantap bagi membangun dan melaksanakan strategi berkaitan Dasar Hidrogen Rendah Karbon secara berkesan.
Pada 17 Ogos 2024, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-14 (EMM14) di Lima, Peru, berkata usaha kolektif itu bukan sahaja akan menyokong matlamat setiap negara tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada agenda penyahkarbonan global.
Di Malaysia, pendekatan berperingkat oleh negara terhadap pembangunan hidrogen, bermula dengan hidrogen kelabu, beralih kepada hidrogen biru dan akhirnya memberi tumpuan kepada hidrogen hijau, mencerminkan komitmennya terhadap masa depan tenaga mampan dan rendah karbon.
Justeru itu, bagi menggalakkan pelaburan sektor swasta, kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa dasar dan insentif termasuk pengecualian cukai, subsidi untuk penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi hidrogen serta pembiayaan untuk projek perintis.
Bagi memastikan usaha pelaksanaan penggunaan hidrogen rendah karbon, maka sudah tentu ia akan menghadapi pelbagai cabaran iaitu kos pengeluaran yang tinggi, infrastruktur yang terhad, keselamatan dan penyimpanan, serta kehilangan tenaga.
Apabila kos penghasilan hidrogen menggunakan tenaga boleh diperbaharui adalah sangat tinggi, maka ia menjadikan hidrogen kurang kompetitif berbanding sumber tenaga lain.
Hidrogen boleh dihasilkan melalui pelbagai kaedah, termasuk elektrolisis air yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
Namun, kos pengeluaran melalui kaedah ini lebih tinggi berbanding kaedah konvensional yang menghasilkan hidrogen daripada bahan api fosil.
Tambahan pula, pembangunan infrastruktur untuk pengeluaran, penyimpanan dan pengagihan hidrogen di Malaysia masih dalam peringkat awal dan agak terbatas, memerlukan pelaburan besar dan masa yang panjang untuk dibangunkan dengan sepenuhnya.
Dari sudut teknologi dan penyelidikan, hidrogen sebagai gas yang mudah terbakar memerlukan penyimpanan dalam keadaan tekanan tinggi atau suhu rendah.
Untuk memastikan penggunaan hidrogen secara meluas, terdapat keperluan mendesak untuk membangunkan teknik pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan dan penggunaan hidrogen yang lebih murah, selamat dan efektif. Selain itu, isu kehilangan tenaga yang berlaku sepanjang proses-proses ini perlu diatasi untuk memastikan kecekapan keseluruhan sistem tenaga hidrogen.
Pembangunan dasar
Cabaran lain yang dihadapi adalah dalam pembangunan dasar dan kerangka pengawal seliaan.
Untuk menyokong penggunaan teknologi hidrogen rendah karbon secara meluas, Dasar Tenaga Malaysia perlu dikemas kini dengan dasar yang jelas dan menyeluruh yang merangkumi aspek keselamatan, ekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Antara masalah utama yang perlu diatasi adalah potensi konflik antara dasar sedia ada yang memihak kepada bahan api fosil ketika berusaha untuk memperkenalkan hidrogen rendah karbon.
Oleh itu, kerjasama antara kerajaan, industri, saintis dan ahli akademik sangat diperlukan untuk merumuskan dan menyelaraskan dasar yang berkesan serta sesuai dengan konteks negara.
Penggunaan teknologi baharu seperti hidrogen rendah karbon juga akan menghadapi cabaran dari segi penerimaan orang awam.
Terdapat kebimbangan dan persepsi masyarakat mengenai keselamatan dan kebolehpercayaan teknologi hidrogen.
Selain itu, masyarakat mungkin belum sepenuhnya memahami faedah penggunaan hidrogen rendah karbon dan sumbangannya kepada pembangunan mampan.
Oleh itu, pendidikan dan kempen kesedaran awam yang komprehensif adalah penting untuk mempromosikan penerimaan teknologi ini.
Peranan para saintis dalam memastikan persediaan dan perancangan teknologi hidrogen rendah karbon dilaksanakan dengan teratur dan terancang adalah sangat penting.
Dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), saintis Malaysia memegang peranan utama dalam mempercepatkan penemuan teknologi hidrogen rendah karbon yang lebih efisien dan kos efektif.
Dengan memanfaatkan kepakaran tempatan dan bekerjasama dengan saintis antarabangsa, mereka dapat menyumbang kepada penemuan teknologi baru seperti kajian penggunaan karbohidrat, ammonia dan logam hidrid untuk penyimpanan hidrogen yang lebih selamat dan berkesan, serta kajian pemangkin berasaskan nanomaterial untuk elektrolisis air.
Selain itu, aplikasi hidrogen rendah karbon dalam industri domestik seperti tenaga elektrik, pengangkutan dan pembuatan juga memerlukan perhatian serius.
Kerjasama antarabangsa juga memainkan peranan penting kerana sains dan teknologi tidak mengenal sempadan.
Untuk mencapai kemajuan yang signifikan dalam bidang hidrogen rendah karbon, saintis Malaysia perlu aktif dalam forum-forum antarabangsa, berkongsi pengetahuan dan pengalaman, serta terlibat dalam projek-projek kerjasama yang memberi manfaat kepada negara.
Penglibatan dalam pendidikan dan kesedaran awam juga merupakan aspek penting.
Topik teknologi hidrogen dalam kurikulum
Saintis bukan sahaja bertanggungjawab dalam bidang teknikal tetapi juga dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan hidrogen rendah karbon.
Ini termasuk usaha untuk mengintegrasikan topik teknologi hidrogen dalam kurikulum pendidikan tinggi, serta menganjurkan ceramah, seminar dan kempen kesedaran untuk orang awam.
Di samping itu, latihan berterusan untuk saintis dan jurutera melalui pelbagai program pembangunan profesional adalah perlu untuk memastikan pengetahuan terkini dikongsi dan diaplikasikan.
Sebagai penasihat dasar, saintis perlu memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan merumuskan dasar-dasar yang menyokong penggunaan hidrogen rendah karbon.
Mereka perlu memberikan input berdasarkan bukti-bukti saintifik dan analisis mendalam mengenai implikasi ekonomi, sosial dan alam sekitar daripada penggunaan teknologi ini.
Contohnya, penglibatan saintis dalam pembentukan dasar yang berkaitan dengan hidrogen dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) adalah sangat diperlukan.
Akhir sekali, pengkomersialan teknologi dan penglibatan industri adalah langkah penting untuk memastikan penyelidikan dalam bidang hidrogen rendah karbon tidak hanya berakhir di makmal.
Saintis perlu terlibat dalam proses pengkomersialan teknologi melalui kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, industri dan kerajaan, atau melalui penglibatan dalam projek-projek perindustrian.
Ini penting untuk memastikan penyelidikan yang dijalankan relevan dengan keperluan pasaran dan mempunyai potensi untuk diterapkan secara praktikal.
Dalam jangka masa panjang, para saintis di Malaysia akan menghadapi pelbagai cabaran dan perlu merancang strategi masa depan untuk mengatasinya.
Salah satu cabaran utama ialah kekurangan pembiayaan untuk penyelidikan dalam bidang hidrogen rendah karbon.
Walaupun terdapat sokongan daripada kerajaan, dana yang diperuntukkan masih tidak mencukupi untuk menyokong penyelidikan yang intensif dan jangka panjang.
Selain itu, kekurangan sumber daya manusia yang mahir dalam bidang ini juga merupakan cabaran yang perlu diatasi.
Masih bergantung dengan luar negara
Malaysia masih bergantung kepada teknologi dan pengetahuan dari luar negara, terutamanya dalam bidang hidrogen rendah karbon.
Oleh itu, terdapat keperluan untuk membangunkan kapasiti tempatan melalui latihan, pendidikan dan kerjasama dengan institusi luar negara.
Langkah ini penting untuk meningkatkan daya saing saintis Malaysia di peringkat antarabangsa.
Selain itu, teknologi hidrogen yang dibangunkan di negara maju mungkin tidak sesuai sepenuhnya dengan keadaan di Malaysia.
Saintis tempatan perlu mengadaptasi teknologi tersebut agar sesuai dengan keadaan iklim, sumber daya dan keperluan ekonomi tempatan.
Pendekatan yang inovatif dan fleksibel diperlukan, yang mana saintis tempatan dapat menggabungkan pengetahuan tempatan dengan teknologi global untuk menghasilkan solusi yang paling sesuai bagi negara.
Untuk mengatasi cabaran-cabaran yang telah dinyatakan, beberapa strategi penting perlu dipertimbangkan oleh saintis dan pembuat dasar di Malaysia.
Pertama, pembiayaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu ditingkatkan.
Kerajaan dan sektor swasta harus memperluas pelaburan dalam teknologi hidrogen rendah karbon dengan menyediakan geran penyelidikan, insentif cukai bagi syarikat yang terlibat dalam R&D, serta membentuk kerjasama yang lebih erat antara universiti, institusi penyelidikan dan industri.
Selain itu, pembangunan infrastruktur dan ekosistem yang menyokong penggunaan hidrogen rendah karbon juga perlu dipercepatkan. Ini melibatkan pembinaan kemudahan untuk pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan hidrogen, serta penciptaan ekosistem yang mempromosikan inovasi, seperti taman sains dan teknologi serta inkubator perniagaan yang berfokus kepada hidrogen.
Latihan dan pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang hidrogen rendah karbon adalah satu lagi elemen kritikal.
Universiti perlu menawarkan program pengajian yang berkaitan, sementara kerajaan dan industri boleh menyediakan program latihan dan pembangunan profesional bagi saintis dan jurutera yang terlibat.
Kerjasama antarabangsa
Kerjasama antarabangsa juga perlu diperkuat, terutama dengan negara-negara yang lebih maju dalam teknologi hidrogen rendah karbon.
Ini boleh dicapai melalui program pertukaran pelajar dan penyelidik, kolaborasi dalam projek-projek R&D, serta perkongsian teknologi yang relevan.
Akhirnya, kesedaran awam dan pendidikan mengenai kepentingan dan manfaat hidrogen rendah karbon perlu ditingkatkan.
Ini boleh dilakukan melalui kempen kesedaran, program pendidikan di sekolah dan kerjasama dengan media untuk menyebarkan maklumat mengenai teknologi ini kepada masyarakat umum.
Melalui usaha-usaha ini, saintis Malaysia dapat membantu memanfaatkan potensi hidrogen rendah karbon sebagai sumber tenaga bersih yang utama pada masa hadapan.
Secara kesimpulannya, penggunaan hidrogen rendah karbon mempunyai potensi besar untuk menjadi komponen utama dalam usaha global untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai pembangunan lestari.
Namun, untuk merealisasikan potensi ini, pelbagai cabaran perlu diatasi, terutamanya dalam konteks negara membangun seperti Malaysia.
Saintis Malaysia mempunyai peranan yang penting dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi, kerjasama antarabangsa, pendidikan dan penglibatan dalam penggubalan dasar.
Dengan strategi yang berkesan dan sokongan yang mencukupi, Malaysia boleh menjadi peneraju dalam penggunaan hidrogen rendah karbon di rantau ini, sekali gus menyumbang kepada usaha global untuk menangani perubahan iklim.
MAHMOD ABD HAKIM MOHAMAD ialah pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.