Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M sedih, marah atas pembunuhan Ismail Haniyeh
Diterbitkan:  Aug 1, 2024 2:23 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sedih dan marah atas pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.

Ahli politik berusia 99 tahun itu juga mengecam Israel dan penyokongnya, menggelar mereka sebagai "hipokrit dan pengganas sebenar."

“Saya bertuah dan bangga dapat berkenalan dengan Ismail selama ini. Seorang lelaki yang lembut tutur kata, namun memiliki hati seperti singa.

"Usaha Ismail yang tidak putus-putus dalam memperjuangkan pembebasan Palestin menentang penjajahan Israel sememangnya sesuatu yang harus dicontohi oleh setiap pejuang kemerdekaan.

“Beliau seorang yang mengagumkan dengan keberaniannya membela rakyatnya jelas berpunca daripada hati nurani yang bersih dan berpandukan kompas moral yang berteraskan kemanusiaan dan keyakinan agama,” katanya pada ucapan takziah hari ini.

Sambil menyifatkan Israel sebagai negara "penyangak dan pelaku pembunuhan beramai-ramai", Mahathir berkata apa yang berlaku kepada Ismail menunjukkan "keangkuhan dan kekejaman" rejim Zionis.

“Namun, media Barat dan beberapa pemimpin mereka terus mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang - Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan peneroka haram Yahudi - yang selama beberapa dekad telah melakukan tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin.

“Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabel Ismail, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas. Kemunafikan Barat dan pihak sejenisnya memang memualkan.

“Saya benar-benar sedih dan saya marah. Saya sedih, kerana Ismail, seorang lelaki yang baik dan berani yang menghabiskan seluruh usia dewasanya berjuang untuk pembebasan Palestin, telah dibunuh.

"Saya marah kerana dunia Barat, yang boleh membuat perubahan, memilih untuk berdiam diri dan sebaliknya memihak kepada Israel dalam melakukan tindakan keganasan mereka dan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin," tambahnya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata dia tetap optimis kerana perjuangan Ismail tidak akan pergi bersamanya dan rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematiannya sia-sia.

“Mereka mungkin membunuh Ismail tetapi bukan idea dan perjuangannya.

“Kepada keluarga Ismail, terimalah ucapan takziah saya yang sedalam-dalamnya atas kehilangan seorang lelaki yang luar biasa.

“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang pada keyakinan. Semoga Allah mengampuninya, memberikannya jannah dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh.

"Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka," tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia mengecam pembunuhan Ismail dan menggesa siasatan segera dijalankan untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS