Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunku Azizah: Jauhi buli, ambil iktibar kejadian di UPNM
Diterbitkan:  Jul 26, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan agar pelajar menjauhi tindakan membuli, sambil mengingatkan kes Zulfarhan Osman.

Berucap pada majlis yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam, Tunku Azizah menasihatkan pelajar supaya mengambil iktibar dengan kes yang terjadi tujuh tahun lalu.

"Saya ingin menasihat semua anak-anak yang baru masuk ini kerana baru-baru ini anda semua telah baca dalam surat khabar mengenai apa yang telah terjadi tujuh tahun lalu di UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia). Jadi saya harap ambillah iktibar apa yang telah terjadi.

"Kerana sia-sia sahaja awak masuk ke universiti dan selepas itu ke tali gantung kerana tidak fikir apa yang awak buat itu akan memusnahkan diri awak sendiri.

"Jadi saya harap semua janganlah buat begitu. Anggap semua sebagai adik beradik di sini. Saya sebagai ibu yang menasihat anak-anak sekalian," katanya.

Pada Selasa (23 Julai), Malaysiakini melaporkan enam bekas pelajar UPNM dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Zulfarhan tujuh tahun lalu.

Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati enam bekas pelajar itu bersalah membunuh, mengetepikan sabitan awal mereka bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat untuk membunuh.

Enam mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Panel hakim yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail memutuskan bahawa hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan sebelum ini tidak mencukupi kerana keganasan jenayah itu.

Pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang, Zulfarhan meninggal dunia akibat kecederaan daripada 90 kejadian akibat seterika, yang menyebabkan 80 peratus badannya melecur.

Remaja berusia 21 tahun itu didakwa telah mengalami beberapa serangan berikutan keengganannya untuk mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas pelajar, di asrama universiti awam di Kuala Lumpur antara 21 dan 22 Mei tahun itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS