Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairuddin gesa polis, SPRM siasat Apandi Ali kes 1MDB
Diterbitkan:  Jun 23, 2024 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Khairuddin Abu Hassan menggesa SPRM dan polis melakukan siasatan jenayah terhadap bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berkaitan skandal 1MDB.

Dalam kenyataan hari ini, Khairuddin yang merupakan penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad itu mempersoalkan mengapa Apandi tidak didakwa di mahkamah atas tuduhan bersubahat dalam skandal itu.

Dia berkata ini kerana bekas perdana menteri Najib Razak telah didapati bersalah di "semua lapisan mahkamah" dan dihukum penjara.

"Polis dan SPRM harus siasat semula dan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Apandi yang telah bersubahat serta cuba menutup kes skandal 1MDB pada suatu masa dahulu dari pengetahuan awam," dakwanya.

Menurut Khairuddin, ketika menjadi peguam negara Apandi membuat beberapa kenyataan yang tiada sebarang kesalahan dalam isu 1MDB.

Mohamed Apandi Ali

"Pada waktu itu Apandi menjawat jawatan yang amat penting selaku peguam negara dan sikap bersubahat beliau dalam skandal 1MDB tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana telah mengakibatkan kehilangan wang negara berbilion ringgit.

"Pada hemat peribadi saya, Apandi telah mengkhianati rakyat Malaysia dalam skandal 1MDB yang telah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Apandi adalah penjawat awam yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya secara professional serta tak bersikap amanah," dakwanya lagi.

Ditahan bawah Sosma, Kanun Keseksaan

Khairuddin membangkitkan dia pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana bersuara tentang 1MDB.

Katanya, dia ditangkap dan didakwa di bawah akta itu selepas membuat laporan di Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom dan Amerima Syarikat berhubung salah laku dalam 1MDB.

"Inilah bentuk undang-undang masakini di negara kita.

"Polis dan SPRM harus mendakwa Apandi yang tidak amanah serta telah mengkhianati kepentingan mahupun kesejahteraan masa depan rakyat Malaysia kerana pembayar cukai terpaksa menanggung puluhan bilion hutang akibat skandal 1MDB," katanya lagi.

Pada 2015, ketika Najib menjadi perdana menteri, Khairuddin membuat sejumlah laporan di Malaysia dan negara lain berhubung kerugian yang ditanggung 1MDB.

Susulan itu, bekas pemimpin Umno itu ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan pada 18 September 2015.

Dia dibebaskan pada 23 September namun ditahan semula di bawah Sosma dan didakwa di bawah Seksyen 124L akta itu pada 12 Oktober, atas dakwaan sabotaj terhadap institusi kewangan.

Namun, pada 12 Mei 2017, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membatalkan pertuduhan jenayah terhadapnya.

Khairuddin kemudian memfailkan saman berkaitan penahanannya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengarahkan ganti rugi berjumlah RM300,000 dibayar kepadanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS