Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GIP jawab kontroversi ambil alih saham MAHB
Diterbitkan:  Jun 21, 2024 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Pelbagai perbincangan telah berlangsung berkaitan penglibatan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam Gateway Development Alliance (GDA), sebuah konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 15 Mei lepas.

GIP adalah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion bagi pihak pelaburnya yang merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

Malah, GIP memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar dan paling rumit di dunia, termasuklah beberapa lapangan terbang.

Syarikat itu yakin dengan potensi yang ada pada MAHB dan Malaysia serta percaya bahawa GDA boleh mengembangkan lagi MAHB menerusi inisiatif menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang.

Pada masa sama, GIP percaya inisiatif ini akan mewujudkan manfaat ekonomi berpanjangan bukan sahaja bagi MAHB dan para pemegang taruhnya, tetapi juga buat ekonomi dan rakyat Malaysia.

Bernama telah menemubual Ketua Bahagian Pengangkutan GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley bagi mendapatkan gambaran berhubung kepakaran GIP, hasrat dan harapan untuk MAHB selain menjawab beberapa isu sebelum ini.

Mengapa GIP berminat dengan MAHB? Apakah potensi yang dilihat dalam MAHB dan Malaysia?

Kami berbesar hati untuk mengemukakan tawaran bagi MAHB bersama-sama dengan rakan strategik lain dari Malaysia iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kami melihat Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik di ASEAN yang mana kedudukannya di tengah-tengah rantau yang paling cepat berkembang dari segi perjalanan udara.

GIP sentiasa berhasrat untuk melabur dalam aset infrastruktur utama di seluruh dunia yang menyediakan perkhidmatan penting dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MAHB memiliki peluang cerah untuk kembali meningkatkan kedudukan pasarannya dan memulihkan jaringan rangkaian penerbangannya yang berada di bawah paras optimum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tawaran dikemukakan oleh GDA ini merupakan peluang bagi GIP menggunakan kepakaran yang ada untuk membawa penambahbaikan di MAHB yang akan memberi manfaat semua pemegang taruh termasuklah penumpang, syarikat penerbangan, kakitangan dan perniagaan lain secara lebih meluas yang berkaitan dengan lapangan terbang MAHB, daripada aspek pelancongan hingga pembuatan.

Kami bersama-sama rakan konsortium lain sangat optimis dan komited untuk membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi.

Ada pihak mengatakan bahawa GIP memiliki pengalaman dan kepakaran dalam menguruskan rangkaian lapangan terbang. Apa yang ditawarkan dan bagaimana MAHB serta Malaysia akan meraih manfaat daripada kehadiran GIP?

GIP membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan serta mengoperasikan lapangan terbang menerusi pelaburan kami di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan juga sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

Kesemua lapangan terbang kami telah menerima manfaat dari segi peningkatan pelaburan, penambahbaikan mutu perkhidmatan, pengurangan kesesakan dan waktu menunggu bagi penumpang, premis komersial berkualiti tinggi dan pertumbuhan penumpang yang pesat. Kami percaya perkara sama dapat diterjemahkan di MAHB. Lapangan terbang merupakan nadi penggerak aktiviti ekonomi, pelancongan dan kemasukan pelaburan dan kami yakin MAHB yang ditambah baik akan memacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan membawa manfaat kepada rakyat.

Mengulas secara spesifik berhubung pengalaman kami mengendalikan rangkaian aset penerbangan, GIP telah mengambil alih kepentingan dalam Signature Aviation pada 2021 yang memiliki dan menguruskan lebih 200 kemudahan penerbangan swasta merentasi 27 negara, sekali gus menjadikannya sebagai rangkaian pengendali pangkalan tetap terbesar di dunia.

Mengapa GIP perlu memiliki pegangan dalam MAHB? Kenapa tidak boleh terlibat menerusi kontrak pengurusan?

GIP merupakan pelabur ekuiti dan kami mahu senada sepenuhnya dengan rakan strategik kami dari Malaysia dalam mengambil keputusan pelaburan jangka panjang. Kami percaya bahawa pemilikan ekuiti merupakan jalan terbaik bagi memacu penambahbaikan dalam sesebuah perniagaan kerana ia memberikan insentif terbaik dan memastikan para pemegang saham berada dalam kedudukan yang selari untuk menyumbang sumber dan kepakaran.

Menerusi pelaburan yang signifikan dalam MAHB, kami dan rakan strategik lain memiliki insentif yang sangat kuat bagi memastikannya mencapai sasaran yang telah kami gariskan.

Di samping itu, meskipun kami hanya merupakan pemegang saham minoriti, kami akan memainkan peranan selaku rakan strategik teknikal dalam GDA dan menyediakan MAHB dengan seberapa banyak sokongan dan bantuan operasi yang diperlukan.

Apa komen anda mengenai kritikan bahawa pengurusan Lapangan Terbang London Gatwick serta Edinburgh oleh GIP dengan mengatakan lapangan terbang ini dan ranking Skytrax bukanlah lebih baik daripada KLIA? Apakah pembaruan yang akan diambil di lapangan terbang MAHB?

Kami amat berbangga dengan perubahan positif yang telah dilaksanakan di semua lapangan terbang kami. Pengalaman penumpang dan prestasi operasi mereka adalah jauh lebih baik berbanding waktu kami baru mula melabur di sana. Kami percaya bahawa mereka merupakan antara lapangan terbang di dunia yang diuruskan secara paling cekap dan berkesan.

GIP memiliki pasukan kakitangan operasi yang ditugaskan untuk menerapkan amalan industri terbaik bagi meningkatkan prestasi operasi syarikat yang menerima pelaburan kami. Pasukan ini merangkumi kira-kira 40 golongan profesional yang secara puratanya memiliki pengalaman industri selama 30 tahun.

Berhubung penilaian ranking ini, Skytrax dan pelbagai lagi kajian atau tinjauan atas talian yang dilakukan oleh beberapa pihak lain secara umumnya bersifat subjektif yang kurang jelas berhubung ketepatan, lengkap dan konsisten data-data yang digunapakai. Kami lebih menumpukan kepada perkhidmatan pengguna dan statistik operasi yang diterbitkan seperti dipersetujui oleh setiap pihak berkuasa yang berkaitan di lapangan terbang kendalian kami.

Contohnya bagi Lapangan Terbang London Gatwick, kami menerbitkan laporan prestasi bulanan yang mengandungi lebih 50 penunjuk prestasi utama merangkumi mutu perkhidmatan yang dipersetujui oleh syarikat penerbangan dan pihak berkuasa. Matriks ini menunjukkan bahawa kami telah memproses 97 peratus penumpang bagi prosedur keselamatan dalam tempoh masa kurang daripada lima minit dan menguruskan salah satu landasan yang paling cekap di dunia. Kami juga telah menggantikan serta memodenkan perkhidmatan ulang-alik antara terminal di Gatwick dalam masa beberapa bulan sahaja.

Di Lapangan Terbang Edinburgh pula, kami telah meningkatkan jumlah destinasi daripada 141 kepada 225 dalam tempoh 10 tahun lepas.

Bagi Lapangan Terbang Sydney misalnya, dalam tempoh 18 bulan pertama, kami telah mengurangkan waktu menunggu keselamatan sebanyak lebih daripada 60 peratus kepada 11 minit.

Kami teruja untuk bekerjasama dengan pengurusan dan kakitangan MAHB, rakan strategik kami dan para pemegang taruh lain dalam kerajaan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, kebolehpercayaan dan teknologi di lapangan terbang MAHB.

Apakah hubungan di antara GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA)?

Berhubung tawaran bagi MAHB, sekiranya dipersetujui, rakan strategk kami dari Malaysia akan memiliki 70 peratus pegangan dalam MAHB manakala bagi 30 peratus pegangan akan dimiliki secara bersama oleh GIP dan ADIA menerusi GIP Aurea Pte Ltd.

GIP dan ADIA memiliki hubungan baik yang berpaksikan kepada tumpuan sama untuk mencipta nilai jangka panjang. Kami telah melabur secara bersama dalam beberapa perniagaan, termasuklah Lapangan Terbang London Gatwick pada 2010 dan Keretapi VTG pada 2022.

Apakah hubungan antara GIP dan BlackRock?

Seperti diumumkan pada Januari lalu, GIP akan diambil alih oleh BlackRock, Inc yang mana transaksi itu dijangka dimuktamadkan dalam suku ketiga 2024. Saya ingin menjelaskan bahawa BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung MAHB.

BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur dan selepas transaksi ini dimuktamadkan nanti, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami.

Selain inisiatif yang telah dikenal pasti untuk KLIA, apakah lagi potensi lain yang anda rasa boleh dimanfaatkan oleh rangkaian lapangan terbang Malaysia?

Selain daripada KLIA, kami teruja melihat kepada peluang yang ditawarkan di lapangan terbang negeri lain seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu selain Sabiha Gokcen di Istanbul, Turkiye. Kesemua lapangan terbang ini terletak di destinasi yang amat menarik namun tidak menerima jumlah penerbangan antarabangsa yang secukupnya. Kami benar-benar mahu meningkatkan jumlah penerbangan dan pelaburan di lokasi-lokasi ini bagi menarik lebih ramai pelancong.

Apa yang perlu adalah memastikan pengalaman penumpang yang konsisten dapat ditawarkan di seluruh rangkaian lapangan terbang MAHB. Ini bermakna perlu menaik taraf dan menyeragamkan mutu perkhidmatan operasi, menambahbaik kawasan peruncitan dan melabur dalam teknologi automasi bagi memudahkan perjalanan penumpang.

Adakah anda mempunyai sebarang garis masa untuk keluar daripada pelaburan dalam MAHB?

GIP merupakan pelabur jangka panjang dan secara kebiasaannya kami melabur dalam lapangan terbang tertentu selama lebih 10 tahun.

Kami perlu mengambil keputusan pelaburan jangka panjang dengan rakan strategik kami bagi memastikan lapangan terbang di bawah MAHB memiliki kapasiti yang mencukupi bagi beberapa dekad mendatang.

Bagi kami, apa yang lebih penting adalah untuk merealisasikan potensi yang ada pada rangkaian lapangan terbang ini berbanding melaksanakan usaha kami berdasarkan tarikh akhir yang sudah ditentukan.

Seandainya transformasi ini ini berjaya dilaksanakan kami akan mempertimbangkan penyenaraian semula MAHB dalam pasaran saham Malaysia di masa hadapan.

Lapangan terbang merupakan aset utama negara yang kebiasaannya diuruskan oleh kerajaan dan syarikat tempatan. Adakah penglibatan GIP dalam MAHB merupakan sesuatu yang di luar kelaziman?

Tidak sama sekali. Dalam banyak negara, termasuk di Eropah, Amerika Latin, Australasia, Thailand, India, Brazil, Filipina dan Turkiye, lapangan terbang kebiasaannya dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat swasta dan menerima pelaburan daripada seluruh dunia.

Lapangan terbang memerlukan pelaburan modal yang besar untuk diselenggara dan dikembangkan operasinya.

Hanya beberapa kerajaan tertentu di seluruh dunia sahaja yang memiliki dana bagi tujuan berkenaan pada ketika ini, manakala banyak kerajaan lain yang menerokai kerjasama dengan sektor swasta yang memiliki kepakaran dalam bidang ini.

Sudah tentu, kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam sektor penerbangan menerusi penetapan dasar keselamatan dan persaingan serta dasar-dasar ekonomi lain yang berkaitan.

Boleh anda kongsikan projek/aset infrastruktur lain yang menerima pelaburan GIP? Adakah anda bercadang untuk mengembangkan operasi anda di Malaysia selain MAHB?

GIP telah melabur dalam dan menguruskan aset infrastruktur utama negara selama lebih 18 tahun, di mana kami kini menguruskan aset berjumlah kira-kira AS$12 bilion.

Pada ketika ini, kami melabur dalam 41 syarikat yang menggaji lebih daripada 115,000 pekerja.

Kami merupakan syarikat antarabangsa dengan operasi di 13 negara dalam rantau Asia. Pelaburan kami di dalam Vena Energy, platform tenaga boleh baru paling besar di pan-Asia, memiliki operasi di Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Jepun, Taiwan, Korea dan India serta bertanggungjawab dalam menyediakan bekalan tenaga bagi lebih daripada lapan juta isi rumah.

GIP konsisten untuk terus mengenalpasti dan meneroka peluang pelaburan di serata dunia.

Malaysia merupakan antara negara yang menawarkan banyak prospek pelaburan menarik yang sedang dikenalpasti dan dinilai oleh kami.

Di samping, kami juga meneliti peluang-peluang di beberapa negara lain, seandainya kami beranggapan bahawa pelaburan yang dilakukan boleh membawa perbezaan kepada perniagaan berkenaan dan sumbangan ekonominya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS