Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS mahu fahamkan Harith Iskander asas isu 'ham'
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 9:10 AM
Dikemaskini: 3:34 AM
6

Gara-gara isu jenaka "ham" dibuat di media sosial oleh Harith Iskander Musa, Pemuda PAS Malaysia bercadang untuk bertemu dengan pelawak terbabit bagi "memahamkannya" tentang isu berkenaan.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata dalam Islam persoalan halal dan haram dinyatakan dengan jelas oleh Allah kerana ia adalah hak mutlak-Nya.

Justeru, kata Afnan Hamimi, tiada sesiapa yang boleh mempersoalkan apa yang sudah ditetapkan Tuhan.

"Memandangkan hantaran Harith Iskander terus mengundang polemik dan tiada hantaran susulan yang meredakan dan mengharmonikan, Pemuda PAS melihat (ada) keperluan untuk memahamkannya tentang asas isu ini dibangkitkan oleh umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan pagi ini.

Oleh itu, tambah Afnan Hamimi, Pemuda PAS sangat teruja sekiranya Harith Iskander bersedia bertemu dengan mereka bagi membolehkan pertukaran pandangan dibuat sesama mereka.

Pada 19 Jan lalu Harith Iskander memuat naik gambar menu kedai kopi dengan item bernama Ham Sap Kopi berserta kapsyen: “Saya sangat keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara. Bukan saja menggoda saya untuk menjadi hamsap tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ham dalamnya. Ni untuk minum atau makan?"

Secara sinis pelawak terbabit juga berkata dia perlu membuat laporan polis kerana berasa "lemah dan hilang kemampuan menggunakan logik."

Jenaka itu mendorong ahli Umno Johor dan pelawak kumpulan Shiro, Shahrol Azizie Azmi, membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa menyiasat selebriti berkenaan.

Kata Afnan Hamimi nama Harith Iskander bukanlah kecil dalam negara bahkan pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan Funniest Person in the World pada 2016.

Justeru, kata Afnan Hamimi, Pemuda PAS berharap sesi pertemuan dengan Harith Iskander itu diyakini dapat membuahkan diskusi yang matang dan menarik untuk pengajaran bersama.

"Semoga saudara Harith Iskander sudi menerima huluran tangan kami," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) memanggil pelawak terbabit berhubung satu komen pengikutnya terhadap hantaran di Facebook yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan ham.

Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataannya juga memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan kepada polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kami juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengeluarkan ulasan itu dan menyekat akaun terbabit," katanya.

Pada masa sama Sirajuddin meminta orang ramai agar bertenang dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk ditangani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
6
ADS