Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu berundur sebagai menteri sekiranya kerajaan menghalang perhimpunan antirasuah pada 25 Januari ini.
Menurut Hanipa, dia telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai peguam mewakili Mohamad yang pernah terlibat dalam siri-siri perhimpunan aman sebelum ini.
Justeru katanya adalah wajar bagi Mohamad meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sekiranya perhimpunan anjuran Bersih dan Suaram itu dihalang.
"Saya menghabiskan sebahagian besar hidup saya sebagai peguam bela mewakilinya, terutamanya dalam kes yang melibatkan hak untuk berhimpun secara aman.
"Kadang-kadang, saya sendiri ditangkap kerana mempertahankan haknya," katanya kepada Malaysiakini.
Putus harapan
Terdahulu dalam satu catatan di media sosial, Hanipa berkata ada suara-suara nakal mencadangkan nama Pakatan Harapan ditukar kepada "Putus harapan".
"Jangan risau. Ia tetap disebut PH," katanya yang merupakan timbalan menteri ketika pentadbiran PH dari 2018 hingga 2020.
Dalam pada itu Hanipa percaya imej kerajaan perpaduan akan meningkat sekiranya perhimpunan itu dibenarkan oleh pihak berkuasa.
"Kerajaan yang kuat tidak akan gentar dengan sebarang perhimpunan aman oleh mana-mana kumpulan," tambahnya.
Hanipa adalah individu terbaru menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan yang dilihat cuba menghalang perhimpunan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan berkenaan atau tindakan tegas akan diambil.
Sulizmie berkata notis yang diberikan penganjur tidak lengkap, selain tidak mendapat persetujuan daripada pemilik tempat berhimpun.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pula mempertahankan tindakan pihak berkuasa.
Namun, penganjur tetap bertegas untuk meneruskan perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula di luar pusat beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.