Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Saya tak mahu jadi PM yang lindungi perasuah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak mungkin akan selamat sekiranya tiada tindakan profesional serta tegas diambil terhadap sebarang salah laku atau rasuah.

Oleh itu, beliau mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas mengikut fakta yang jelas terhadap penjenayah dan pesalah rasuah tanpa mengira status demi menegakkan keadilan.

Anwar berkata ramai dalam kalangan rakyat berasa resah dan mengeluh apabila siasatan kes jenayah dan rasuah mengambil masa yang lama, namun rakyat juga harus faham langkah itu bagi memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tetapi melindungi penjenayah atau perasuah. Jadi pastikan tindakan itu profesional, adil dan tidak menghukum sebelum ada fakta dan lihat kepada sudut undang-undang.

“Saya singgung perkara ini secara langsung dalam majlis ini kerana yang menjadi mangsa juga adalah ahli sukan yang giat dalam olahraga. Jadi jaminan itu penting supaya ada perasaan semua rakyat, baik ahli sukan ataupun penjawat awam bahawa ada tindakan tegas,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya Adam Adli Abd Halim.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS