Video dan gambar memaparkan sekumpulan sami Buddha berehat di sebuah masjid di Temanggung di Jawa Tengah, Indonesia pada Ahad lalu tular di media sosial.
Kumpulan sami tersebut melakukan ritual thudong, iaitu berjalan kaki ke Candi Borobudur sempena Hari Wesak, dan singgah berehat sebentar di Masjid Baiturrohmah di Bengkal, Temanggung.
Pihak masjid yang menyambut kedatangan mereka tidak menyangka video dan gambar tersebut mengundang perhatian ramai.
Menurut pengerusi masjid, Fatkhulrohman, 53, berkata kumpulan sami tersebut menulis surat untuk meminta izin berehat di situ.
“Saya terus berjumpa dengan ahli-ahli masjid yang lain untuk memberi kebenaran kepada sami-sami. Kami menyediakan kelengkapan yang mencukupi bagi menyambut tetamu berehat seperti minuman dan makanan ringan.
“Pihak masjid menyediakan minuman seperti kopi, teh dan dawet (minuman segar yang popular di Indonesia),” kata Fatkhulrohman menurut laporan portal berita Indonesia, Detik.
Menurut laporan itu, kumpulan sami itu menyuarakan penghargaan kepada pihak masjid atas sambutan diberikan dan sempat berdoa untuk masyarakat setempat.
“Mereka berasa gembira serta teharu dan berdoa dengan cara mereka, mungkin orang yang tidak tahu ibadah mempunyai persepsi yang salah. Tujuannya bukan untuk ibadah tetapi mereka hanya mendoakan masyarakat Bengkal.
“Selepas itu, pihak masjid juga membaca doa selamat yang dipimpin oleh Pak Haji Wari. Jika orang yang tidak tahu mereka akan berkata ‘oh, masjid digunakan sebagai tempat ibadah untuk penganut Buddha’. Itu yang salah, padahal mereka hanya berdoa,” kata Fatkhulrohman lagi.
Pada sebelah malam, katanya lagi, dia menerima mesej Whatshapp daripada beberapa pihak yang bertanya mengapa ia menjadi tular.
Dia berkata pihak masjid hanya menghormati tetamu dan jika ada yang menyokong mahupun membantah, itu hanyalah pandangan peribadi mereka.
“Saya hanya menunjukkan bahawa Islam menghormati agama lain. Yang penting adalah rahmatan lil alamin, Islam seperti ini bukan seperti yang dibayangkan oleh orang lain," katanya.
Sementara itu, ketua kumpulan sami, Kamsai Sumano Mahathera menghargai sambutan hangat yang diberikan pihak masjid.
“Kami masuk ke masjid dan dilayan seperti keluarga kami sendiri kerana semua sudah disiapkan. Selepas kami minum, kami berdoa bersama,” katanya.