PRK KKB l Seorang pemimpin DAP tampil mendakwa bahawa calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut meniru manifesto calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu, Sabtu ini.
Adun Buntong, Thulsi Manogaran berkata bahawa manifesto PN yang dilancarkan pada Isnin lalu hampir sama dengan manifesto PH yang dilancarkan lebih awal.
"Bagi saya calon PN ini tidak komited dengan pengundi KKB. Dia cuma meniru manifesto PH.
"Hakikat dia baru melancarkan manifesto Isnin menunjukkan tidak tidak kisah dan komited walaupun sebagai calon. Apatah lagi jika apabila dia menjadi wakil rakyat.
"Jika dia benar-benar mempunyai visi di KKB, dia harus melancarkan manifesto lebih awal seperti calon PH ," katanya kepada pemberita semasa berkempen di Ampang Pecah, semalam.
Pang melancarkan manifesto pada Sabtu lalu yang berlandaskan kepada lima teras iaitu menyentuh mengenai ekonomi, alam sekitar, warisan dan budaya serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, manifesto seharusnya dibuat berpandukan kepada hasil maklum balas diterima daripada penduduk Kuala Kubu Bharu.
Sementara itu, Khairul dalam manifestonya mengemukakan lima tawaran atau teras.
Bertemakan 'Demi Rakyat Kuala Kubu Bharu', katanya, manifesto PN menyuarakan denyut nadi rakyat atau pengundi Kuala Kubu Bharu di peringkat pentadbiran negeri.
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei ini, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58 dari DAP akibat barah.
Selain Pang yang mewakili PH dan Khairul yang bertanding atas logo PN, pilihan raya Sabtu ini menyaksikan Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas) yang juga cuba merampas kerusi berkenaan.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!