Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar guna pentas Ponggal lampiaskan nafsu serakah dendam'
Diterbitkan:  Jan 22, 2024 10:03 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Seorang pemimpin sayap bersekutu Bersatu hari ini mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana didakwa menggunakan sambutan Ponggal peringkat kebangsaan sebagai platform untuk menghentam seteru politiknya.

Ketua bersekutu Bersatu, Bangi, Vasantha Kumar Krishnan, perdana menteri telah mempergunakan perayaan Pongal kaum India sebagai pentas untuk melampiaskan nafsu serakah dendam peribadi.

Ini susulan kenyataan Anwar yang dilaporkan bercakap mengenai siasatan terhadap seorang 'Tun' kerana didakwa mencuri wang rakyat semasa sambutan acara itu di Klang pada Sabtu lalu.

Vasantha Kumar Krishnan

Dalam satu kenyataan, Vasantha Kumar, berkata ucapan seorang perdana menteri lazimnya memberi fokus kepada penyatuan rakyat, hormat menghormati antara satu sama lain dan mengeratkan perpaduan antara kaum dalam negara dan bukannya melancarkan serangan terhadap musuh.

“Apakah kena mengena ucapan ‘balas dendam’ Anwar dengan Tun Mahathir dan Tun Daim dalam sambutan Pesta Ponggal itu?

“Nyata sekali Anwar masih mabuk dendam sehingga tidak sedar Pesta Pongal bukan pentas politik.

"Apa kaitan ucapan balas dendam Anwar terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim dengan perayaan Ponggal?” katanya merujuk kepada bekas Perdana Menteri. Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin.

“Anwar sepatutnya menggunakan pentas itu untuk melakar visi ke hadapan, serta memaklumkan mengenai polisi dan dasar kerajaan dalam membantu kaum India yang semakin ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan pekerjaan.

“Nyata sekali Anwar Ibrahim langsung tidak menghiraukan masalah hidup rakyat, termasuklah kaum India, yang semakin terhimpit akibat kos sara hidup yang semakin tinggi,” tambah Vasantha.

Semasa sambutan Ponggal peringkat kebangsaan pada petang Sabtu, Anwar dilaporkan memberitahu hadirin bahawa bukan mudah untuk menjalankan sebarang siasatan terhadap golongan kenamaan.

Justeru, dia meminta rakyat menyokong usaha kerajaan dalam menyiasat golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan.

“Kami akan kejar penyangak itu, saya tidak peduli ...bila kita nak ambil tindakan (ke atas golongan tersebut) rakyat marah, perdana menteri ini kasar sangat.

“Bagi saya aneh, sepatutnya kamu sokong. Bukan senang tahu, mahu siasat Tun,Tun.

"Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah lagi senang, saya mahu siasat orang kaya yang besar-besar curi duit ingat senang ke?

“Tak senang. Kita mahu jaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat,” katanya pada Majlis Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di Klang, Sabtu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS