Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zuraida bawa bekas penduduk Kg Berembang kongsi pengalaman diusir

Bekas menteri Zuraida Kamaruddin hari ini membawa bekas penduduk Kampung Berembang, Ampang yang diusir pada 2007 untuk berkongsi pengalaman bersama kira-kira 30 penduduk Kampung Setia Jaya di Kuala Lumpur yang kini berdepan masalah sama.

Noralizan Ali mengimbas kembali pengusiran yang bermula pada 2003 sehinggalah Kampung Berembang diroboh sepenuhnya pada 2007.

"Kami peneroka bandar yang dilabel sebagai setinggan. (Sedangkan) Kita teroka bandar, (hingga) ada jalan cantik dan perumahan tersusun, penuh dengan penduduk di sekeliling Kuala Lumpur.

"Bila ada nilai (tanah) tinggi, kerajaan nak bangunkan dan kita dikeluarkan daripada kawasan peneroka," katanya pada sidang media anjuran Jawatankuasa Bertindak Kampung Setia Jaya (KSJ) di Dewan Umno Kampung Setia Jaya, hari ini.

Turut hadir adalah Bekas Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (kini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) dan bekas ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Noralizan mendakwa walau rumahnya diroboh sebanyak lima kali pada masa itu, dia dan penduduk lain tetap mempertahankan kampung itu, bukan saja dengan penguatkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah berdepan samseng yang diupah.

Kampung Setia Jaya di Setapak, Kuala Lumpur

"Pada 2008, barulah pengusiran paksa dan perobohan dihentikan. Tapi kami tetap berjuang lawan FRU, PBT dan ada yang kena tangkap. (Berdepan) dengan gangster lagi...kita melawan sebab mempertahankan hak kita," katanya.

Dia berkata, setelah melalui siri perbincangan bersama pemaju dan pihak kerajaan, penduduk akhirnya diberi rumah baru.

Noralizan berharap perbincangan mengenai isu Kampung Setia Jaya melibatkan semua pihak dengan penduduk sebaiknya diberi rumah baru.

"Kita cari penyelesaian yang baik dan saya minta penduduk kampung bersatu, berjuanglah untuk mendapat hak," katanya lagi.

Menurut laporan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu memberikan pemilikan tanah kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan memerintahkan penduduk untuk mengosongkan kediaman dalam tempoh 18 bulan.

Beberapa hari kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya akan mengaturkan pertemuan dengan Yayasan Pendidikan TARC untuk mencari titik tengah dalam isu tersebut.

Teruskan dengan rayuan

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KSJ Noorsham Din berkata walaupun kecewa dengan keputusan mahkamah, mereka akan tetap memfailkan rayuan demi memperjuangkan nasib penduduk.

"Apa yang penduduk nak ialah rumah (ganti) agar kita masih boleh duduk di kawasan yang sama.

Noorsham Din

"Dulu mereka (Kolej Tunku Abdul Rahman) janji memperuntukkan sebanyak lima ekar tanah untuk penempatan semula di kawasan sini," katanya, sambil menambah perkara itu dinyatakan dalam pertemuan antara jawatankuasa bertindak dengan wakil KTAR yang juga bekas ahli parlimen Wangsa Maju Yew Teong Look, serta peguam masing-masing.

Menurutnya lagi, dalam satu lagi perjumpaan baru-baru ini, penduduk ditawarkan pampasan bernilai RM30,000 selain RM10,000 untuk urusan perpindahan, yang disifatkannya sebagai tidak memadai memandangkan penduduk rata-ratanya berpendapatan rendah.

Noorsham berkata pihaknya turut bertemu dengan Dr Zaliha selepas keputusan mahkamah dan menteri itu hanya berjanji untuk membantu penduduk, tanpa sebarang komitmen bertulis kepada mereka.

Dia juga menyatakan rasa kecewa dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan yang didakwanya enggan campur tangan dalam perkara itu.

"Ahli parlimen sekarang (Zahir) langsung tidak ambil tahu. Sepatutnya sebagai wakil rakyat dia kena datang, bukan saya yang kena jemput dia," katanya.

Kronologi pengusiran Kampung Setia Jaya

Menceritakan rentetan peristiwa yang berlaku, Noorsham mendakwa pada 2016, dia didatangi seorang individu yang mengaku sebagai wakil KTAR yang mahu melakukan proses bancian data penduduk.

Kemudian, katanya, ahli parlimen Wangsa Maju ketika itu, Dr Tan Yee Kew memanggil pemimpin parti politik di kawasan itu untuk menubuhkan jawatankuasa bertindak mengenai status penduduk.

Dia berkata tidak lama selepas PRU 2018, Dr Tan dalam sesi dialog membentangkan pelan tawaran pembelian rumah dengan diskaun kepada penduduk.

Beberapa tahun kemudian, iaitu pada Feb 2022, penduduk menerima notis perlu mengosongkan kediaman dalam tempoh tujuh hari, katanya lagi.

Ekoran itu, dia berkata jawatankuasa bertindak telah melantik peguam untuk mencabar notis pengusiran setelah kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Jelasnya lagi, penduduk dan KTAR mengadakan rundingan sebanyak dua kali sepanjang kes di mahkamah, di mana KTAR didakwa menawarkan penempatan semula kepada penduduk dengan syarat mereka mengiktiraf KTAR sebagai pemilik tanah.

Namun, katanya lagi, setelah mendapat nasihat peguam, penduduk enggan berbuat demikian memandangkan mereka dilabel sebagai "penceroboh" dalam notis pengusiran.

Kes terus dibicarakan sehingga pada 19 Disember lalu, apabila Mahkamah Kuala Lumpur memerintahkan penduduk - seramai 512 keluarga - untuk mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh 18 bulan.

Perbincangan meja bulat

Sementara itu, Zuraida mencadangkan sebarang isu yang berbangkit dibincangkan melalui rundingan meja bulat antara Dr Zaliha yang mewakili kerajaan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), KTAR serta wakil penduduk Kampung Setia Jaya.

Zuraida mendakwa tanah itu dianugerahkan kepada KTAR sebelum ini, maka ia melibatkan PTG, kementerian yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

"Kita cadangkan kepada wakil penduduk untuk adakan round table bagi bincang hal ini," katanya lagi.

'Kami bukan penceroboh'

Sementara itu, seorang penduduk asal Kg Setia Jaya, Zainal Abidin Napi, 65, menegaskan bahawa mereka bukan penceroboh di tanah tersebut malah mereka merupakan kumpulan peneroka yang pertama membuka perkampungan di situ.

"Saya harap orang kampung (penduduk) jangan takut mempertahankan hak kita. Kenapa mesti kita nak berundur?

"Kami tak mahu ditindas, kami bukannya penceroboh," katanya penuh emosi pada sidang media yang diadakan Jawatankuasa Bertindak Kg Setia Jaya, hari ini.

Zainal Abidin Napi

Dia menyeru pihak atasan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri campur tangan agar isu yang berlaku tidak berpanjangan.

"Kita ada hak, kita tak salah sebab kita duduk dulu, tanah ini kosong, tiada orang punya, dalam Islam pun dibenarkan malahan digalakkan kita mempertahan hak dan maruah kita.

"Saya seru PMX sendiri, supaya jangan isu ini berpanjangan dan menjadi isu perkauman, kebetulan yang duduk (penduduk kampung) disini, Melayu manakala pihak sebelah sana (KTAR), Cina, jadi, ambil jalan penyelesaian menang-menang dan jangan sampai isu ini menjadi isu perkauman," tegasnya lagi.

Rata-rata penduduk berharap untuk mendapat rumah baharu sebagai galang ganti perobohan kampung mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS