Keluarga mangsa buli menggesa Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) untuk mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajar senior, yang didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pelajar Tingkatan 4 pada September lalu.
Gesaan ini hadir selepas sekolah itu hanya menjatuhkan hukuman yang dipercayai keluarga mangsa sebagai tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Menurut ahli keluarga yang enggan namanya didedahkan, mangsa mengalami pelbagai kecederaan termasuk di bahagian sulit dan menyebabkannya terlantar di hospital susulan kejadian 24 Sept lalu.
Kejadian buli itu didakwa berlaku semasa sesi yang dikatakan dianjurkan sekumpulan pelajar Tingkatan 5 untuk "menerapkan disiplin" terhadap pelajar Tingkatan 4.
“Pelaku mengaku semasa sesi perjumpaan yang dihadiri ibu bapa dan pentadbir sekolah bahawa mereka merasakan perangai pelajar Tingkatan 4 'melampau’ kerana tidak hadir untuk 'prep', dan tak masukkan baju dalam seluar, perkara seperti itu.
“Jadi mereka mahu menangani masalah itu sendiri,” dakwa ahli keluarga itu.
Mangsa, katanya, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 3 pagi selepas salah seorang pelajar senior melakukan 'rugby tackle' sebelum beberapa yang lain mula menendang dan menumbuknya.
Keluarga mangsa bergegas ke Hospital Kuala Kangsar selepas warden sekolah menghubungi mereka meminta kebenaran menghantar mangsa untuk rawatan.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, ibu bapa mereka menerima satu lagi panggilan daripada pihak hospital memberitahu mangsa terpaksa dipindahkan ke Hospital Taiping kerana kecederaan yang dialaminya agak teruk.
Menurut ahli keluarga itu, kes mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur atas permintaan mereka, di mana dia menerima rawatan lanjut.
'Kenalan politik'
Ahli keluarga mangsa mendakwa MCKK hanya memutuskan untuk mendisiplinkan pelaku dengan beberapa pukulan rotan dan membuat mereka berjanji untuk berkelakuan baik.
“Pelaku tidak pun digantung sekolah atas tindakan mereka,” katanya.
Menurutnya, keluarga mereka tidak memusuhi sekolah itu, tetapi kecewa dengan cara pentadbirnya mengendalikan kes berkenaan.
Mereka mahu pelajar yang membuli dibuang sekolah atau sekurang-kurangnya dipindahkan ke sekolah lain, dengan memetik risiko ketakutan dan keselamatan mangsa serta pelajar lain.
Dia juga mendakwa terdapat percubaan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menutup kes itu.
Ini, katanya, berikutan pelaku utama adalah anak kepada ahli jawatankuasa PIBG.
Dia mendakwa bahawa keluarga pelajar lelaki yang melakukan 'rugby tackle' mempunyai kenalan politik "sehingga orang atas", tetapi enggan mengulas lanjut.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas tuduhan itu, dan telah menghantar permintaan untuk respons kepada pentadbiran sekolah dan Kementerian Pendidikan.
Pegawai Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dia tidak boleh mengeluarkan sebarang komen kerana kes itu dalam siasatan polis, tetapi sedang menyemak sama ada jabatan berkaitan telah melancarkan siasatan dalaman.
Malaysiakini juga cuba menghubungi keluarga anggota PIBG yang dikatakan mempunyai hubungan dengan orang berpengaruh, yang anaknya didakwa terlibat dalam serangan itu.
Pada Ahad, PIBG MCKK mengeluarkan kenyataan membidas keluarga pelajar Tingkatan 4 itu, yang dilaporkan dihantar ke hospital selepas didakwa dibuli oleh rakan sekolahnya.
PIBG dalam satu kenyataan berkata, keluarga pelajar itu tidak sepatutnya menyiarkan mengenai kes itu di media sosial, menyebabkan ia menjadi tular dan menjejaskan reputasi sekolah.
Difahamkan, kes itu juga dalam siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata pihaknya telah membuka siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.