Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasi kandar lauk babi bebas dijual pada bukan Islam - mufti

Jika orang bukan Islam yang menjual makanan tidak halal seperti nasi yang berlaukkan daging khinzir, maka mereka bebas menghidangkannya atau menjualnya kepada masyarakat bukan Islam, kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor.

Tegasnya, ia adalah sebagaimana diketahui bahawa orang bukan Islam tidak terikat dengan hukum Islam.

"Tetapi mana-mana premis yang menjual makanan sedemikian (tidak halal) hendaklah memaparkan iklan atau notis memaklumkan status makanan tersebut supaya tidak dimakan oleh penganut Islam.

"Pihak penguatkuasaan agama hendaklah mengarahkan premis-premis berkenaan supaya berbuat demikian," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung bantahan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) terhadap promosi premis yang menjual menu nasi kandar berlauk babi yang didakwa akan mewujudkan kekeliruan.

Terdahulu Presiden Presma, Jawahar Ali Taib Khan dilaporkan berkata, tindakan itu dianggap bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia yang diketahui dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun.

Jawahar Ali Taib Khan

"Presma beranggapan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan serta penggemar nasi kandar di negara ini sekaligus memberikan gambaran negatif kepada menu kesukaan ramai ini.

"Justeru, Presma ingin menegaskan, hidangan nasi kandar di semua premis milik ahli Presma di seluruh negara dijamin halal dan bebas daripada bahan dilarang di dalam Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Wan Salim berkata, larangan memakan daging khinzir ke atas umat Islam dinyatakan dengan jelas di dalam al-Qur’an dan sebab larangan adalah ia disifatkan sebagai “rijsun” yang boleh difahami sebagai najis atau kotor.

Selain itu katanya, Islam juga melarang umatnya daripada memakan benda-benda yang kotor atau menjijikkan yang disebut sebaga “khaba’ith”.

Tambahnya, ilmu perubatan moden juga telah menemui sejenis cacing yang terkandung di dalam daging khinzir yang dinamakan “treichine”.

"Cacing ini amat berbahaya terhadap kesihatan manusia dan menyebabkan penyakit yang sukar diubati. Bagi srorang Muslim, apa jua yang dilarang oleh agama Islam hendaklah dihindari sama ada diketahui sebab ia dilarang atau tidak.

"Keimanan kepada wahyu Allah sudah memadai bagi seorang Muslim untuk mematuhi segala petintah tuhannya termasuk dalam soal makan dan minum," jelasnya.

Justeru pihaknya menyeru masyarakat Islam supaya berhati-hati dalam soal makan dan minum supaya tidak termakan benda-benda yang diharamkan.

Treichine boleh menyebabkan Trichinosis, yang boleh menjangkiti seseorang akibat memakan daging mentah atau tidak cukup masak daripada haiwan yang dijangkiti parasit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS