Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan geledah SPRM langgar undang-undang, kata firma guaman
Diterbitkan:  Oct 9, 2023 3:02 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Sebuah firma guaman telah melabelkan kelakuan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai menyalahi undang-undang, sembarangan dan khususnya akan mengakibatkan pencabulan keistimewaan profesional undang-undang.

Peguam Chetan Lachwan Jethwani daripada firma Chetan Jethwani & Company berkata lima pegawai SPRM dan LHDN datang ke firma guamannya itu sekitar 9.30 pagi pada Jumaat minggu lalu dengan arahan menggeledah firma itu bagi merampas dokumen.

“Namun, saya telah membantah cubaan geledah dan rampas tersebut.

“Hal ini kerana, tindakan pegawai-pegawai daripada SPRM dan LHDN adalah satu tindakan yang menyalahi undang- undang, tidak berasas dan akan melanggar hak keistimewaan profesion perundangan (legal professional privilege),” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dia mendakwa pegawai SPRM dan LHDN khususnya tidak mematuhi peruntukan undang-undang dalam Akta SPRM 2009 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

[Baca berita asal]


Berikut kenyataan penuh Chetan Lachwan Jethwani:

Merujuk kepada kenyataan akhbar dan artikel sosial media berkaitan pegawai-pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (“SPRM”) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (“LHDN”) telah melakukan serbuan terhadap beberapa firma guaman pada 06.10.2023. Laporan akhbar dan artikel sosial media tersebut adalah bersifat spekulatif, mengelirukan dan khilaf dalam sebahagian informasinya. Tambahan pula, sumber laporan tersebut adalah daripada sumber yang tidak diketahui dan tanpa nama.

Justeru itu, kenyataan media ini dikeluarkan untuk memberikan justifikasi terhadap perkara yang telah berlaku dan menyatakan fakta yang sebenar.

Benar bahawa firma guaman saya, Chetan Jethwani & Company merupakan salah satu firma guaman yang hampir digeledah dan disita oleh pegawai-pegawai SPRM dan LHDN pada 06.10.2023.

Pada lebih kurang pukul 9:30 pagi bertarikh 06.10.2023, lima pegawai yang terdiri daripada pegawai-pegawai daripada SPRM dan LHDN telah hadir ke firma guaman saya bersama notis mengeledah untuk menyita dokumen-dokumen yang terdapat di firma guaman saya.

Namun, saya telah membantah cubaan geledah dan rampas tersebut. Hal ini kerana, tindakan pegawai-pegawai daripada SPRM dan LHDN adalah satu tindakan yang menyalahi undang- undang, tidak berasas dan akan melanggar hak keistimewaan profesion perundangan (legal professional privilege).

Khususnya, pegawai-pegawai daripada SPRM dan LHDN tidak mematuhi lunas undang-undang yang telah ditetapkan di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Rentetan itu, pegawai-pegawai daripada SPRM dan LHDN telah beredar daripada firma guaman saya untuk mendapatkan arahan lanjut.

Pada pukul 10:45 pagi, pegawai-pegawai daripada SPRM dan LHDN telah hadir kembali ke firma guaman saya dan menyerahkan Perintah Mengemukakan Dokumen dan Perintah Menghadiri Pemeriksaan ke SPRM untuk merekodkan kenyataan pada pukul 3:00 petang hari yang sama, iaitu 06.10.2023.

Perintah Mengemukakan Dokumen tersebut adalah perintah untuk menyerahkan fail anakguam yang mempunyai maklumat -maklumat yang dilindungi oleh hak keistimewaan profesion perundangan.

Justeru itu, sebelum saya merekodkan kenyataan di SPRM, satu surat rasmi yang menyatakan bantahan terhadap cubaan geledah dan sita tersebut telah dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan beberapa pegawai atasan SPRM.

Saya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang fail atau dokumen yang telah diserahkan atau ditunjukkan kepada SPRM.

Tambahan lagi, ketika sesi rakaman kenyataan, saya menekankan berkaitan hak keistimewaan profesion perundangan dan perkara ini telah direkodkan di dalam kenyataan yang dirakam.

Hak keistimewaan profesion perundangan ialah hak yang penting untuk melindungi informasi di antara peguam dan anakguam.

Hak keistimewaan ini akan memastikan anakguam bebas mendapatkan nasihat undang-undang secara rahsia. Hak keistimewaan ini merupakan asas dan landasan yang penting dalam memastikan keterjaminan proses keadilan.

Perkara ini telah termaktub di dalam Seksyen 126 Akta Keterangan 1950. Malah, ia juga diiktiraf sebagai sebahagian prinsip di dalam common iaw di mana ia terpakai di Malaysia. Bukan itu sahaja, hak keistimewaan ini telah berulang kali dikuatkuasakan dan digunapakai di dalam sistem kehakiman di Malaysia.

Selaku peguam bela dan peguam cara, saya mempunyai tanggangjawab untuk melindungi dan menegakkan hak keistimewaan ini tanpa mengundur setapak pun.

Laporan akhbar mengenai perkara ini telah berusaha untuk mengenal pasti saya dengan merujuk kepada anak guam saya yang tidak langsung mempunyai sebarang perkaitan dengan perkara ini.

Disebabkan itu, terdapat gambar yang salah dan mengelirukan telah digunakan dalam laporan ini sehingga menyebabkan spekulasi yang tidak berasas untuk mengetahui hak keistimewaan anakguam yang manakah terpalit.

Saya berpegang teguh kepada perlindungan rahsia anakguam dan hak keistimewaan profesion perundangan.

Maka, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan sama sekali mendedahkan atau memberi sebarang maklumat berkaitan identiti yang terlibat dalam dokumen yang dilindungi oleh hak keistimewaan profesion perundangan itu.

Saya berpandangan bahawa cubaan yang dilakukan oleh SPRM dan LHDN untuk mendapatkan maklumat telah melanggar hak keistimewaan profesion perundangan.

Tambahan pula, tindakan tersebut adalah menyalahi undang-undang dan menyinggung kedaulatan undang- undang (rule of law). Saya juga telah menghantar surat bantahan secara terperinci kepada Majlis Peguam Malaysia untuk menerangkan tentang kejadian yang berlaku.

Saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan tanggapan yang tidak benar dan mengelirukan sehingga boleh merosakkan reputasi saya atau anakguam saya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS