GLOBAL | Ketua tentera Hamas Mohammed Deif mengisytiharkan permulaan "operasi ketenteraan" terhadap Israel susulan serangan roket bertubi-tubi dari Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Matlamat Operasi Banjir Al-Aqsa adalah untuk menamatkan "pelanggaran" Israel, kata Deif dalam kenyataan rakaman ringkasnya awal Sabtu.
Seorang wanita terbunuh manakala 15 lagi cedera dalam serangan roket besar-besaran dari Semenanjung Gaza yang bermula awal Sabtu.
Wanita berusia sekitar 60 tahun itu cedera parah berhampiran bandar Gedera, menurut perkhidmatan menyelamat Magen David Adom.
Serangan besar-besaran dari Semenanjung Gaza datang secara mengejut.
Situasi kembali memuncak, terutamanya di Tebing Barat yang diduduki.
-Bernama