Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhaizan: Fatwa Muhyiddin haram undi saya tak sesuai

PRK JOHOR | Calon PH Pulai Suhaizan Kaiat menegur Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang telah 'memfatwakan hukum haram' untuk mengundi bekas speaker DUN Johor itu.

Suhaizan berkata adalah "tidak wajar" bagi Muhyiddin membuat dakwaan sedemikian.

"Dari segi politik saya tidak ada masalah untuk dia tak mahu undi saya. Tak ada masalah pada saya.

"Tetapi bila sebut haram sokong Suhaizan tu saya kira tidak sesuai sebab kita seolah-olahnya mempermainkan hukum Allah.

"Kita tak boleh sewenang-sewenangnya menghukum ini untuk seteru politik sebab dia ada kesan tidak baik.

"Nanti semua orang boleh menghukum dengan sewenang-sewenangnya,” katanya ketika bercakap kepada pemberita di pejabat MCA bahagian Pulai.

"Nanti semua orang boleh menghukum dengan sewenang-sewenangnya. Tak apa dalam politik kita berbeza...

"Tak mau mengundi tak ada masalah. Tapi jangan gunakan hukum untuk lawan seteru kita," kata timbalan pengerusi Amanah Johor itu.

Muhyiddin membuat kenyataan itu untuk menggesa pengundi menunjukkan kemarahan mereka kepada kerajaan ketika berceramah di Kempas malam tadi.

"Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

"Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana," kata Muhyiddin.

Awal hari ini, Pengerusi Umno Johor Mohamed Khaled Nordin dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan berasingan telah mempertahankan Suhaizan terhadap 'fatwa' Muhyiddin itu.

Secara berasingan, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali turut melahirkan kebimbangan bahawa kenyataan Muhyiddin akan menggalakkan "ekstremisme" dan seterusnya memecahbelahkan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS