Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MCA, MIC biawak hidup': Tak perlu layan pendapat Lokman - Zahid

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam yang melabelkan MCA dan MIC sebagai “biawak hidup” tidak perlu dilayan.

Zahid berkata pemimpin tertinggi BN tidak menyokong "pendapat peribadi" yang disuarakan oleh Lokman.

"Tak perlu layan pendapat individu walaupun berbeda.

"Parti tak endorse kepada pendapat-pendapat yang berbeza itu.

"Kita pegang kepada pendirian rasmi kepimpinan utama setiap parti yang ada dalam BN dan parti yang ada dalam PH,” katanya.

Zahid berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort di Selangor.

Dalam wawancara dengan sebuah portal tempatan baru-baru ini, Lokman dilaporkan berkata MCA dan MIC perlu membuktikan bahawa parti itu masih mendapat sokongan orang bukan Melayu sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Lokman berkata, walaupun MIC dan MCA tidak membawa masuk undi untuk BN sejak 2008, pemimpin parti itu masih diberi jawatan menteri.

Kenyataan itu mengundang respons daripada MCA dan MIC, dengan Naib Presiden MCA Ti Lian Ker menggelar Lokman sebagai jurucakap DAP.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa menggesa parti itu memulaukan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang untuk memberi pengajaran kepada mereka yang kini "berkawan" dengan DAP.

Mengulas desakan Wa, Zahid berkata kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dibangkitkan memandangkan parti komponen BN berada dalam keadaan kritikal menjelang PRN yang semakin hampir.

"Saya ucapkan terima kasih kerana kepimpinan utama MIC, MCA dan PBRS memang mendukung PRN yang sama-sama kita hadapi ini.

"Kerjasama antara BN dan PH pada tahap terbaik pada ketika ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS