Kemiskinan haid atau period poverty adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan kekurangan akses kepada produk kebersihan atau kemudahan yang mencukupi untuk wanita yang datang haid.
Ia merupakan isu mendesak yang memberi kesan kepada berjuta-juta wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia, terutamanya di negara membangun.
Ia bukan sahaja memberi kesan kepada kebersihan dan kesihatan diri golongan terbabit, tetapi juga peluang pendidikan dan ekonomi mereka.
Perbincangan berkenaan kemiskinan haid ini menjadi tabu atau larangan dalam adat dan budaya kebanyakan kaum di dunia khasnya di negara-negara membangun.
Ini menjadi salah satu penyebab utama mengapa pembasmian kemiskinan haid ini sukar diatasi.
Dalam kalangan rakyat Malaysia contohnya, terdapat sebahagian wanita di luar bandar yang masih berbisik-bisik apabila memperkatakan berkenaan haid.
Masih wujud stigma, rasa malu dan penyebaran maklumat yang salah apabila membahaskan hal berkaitan haid sama ada dari sudut kesihatan, gaya hidup, adat mahupun agama.
Lebih memburukkan, masih ada kepercayaan budaya yang berakar umbi dan pantang larang yang melabelkan haid sebagai najis, kotor bahkan satu sumpahan.
Persepsi negatif ini mengakibatkan ramai gadis dan wanita tidak mempunyai maklumat tentang cara menguruskan haid mereka dengan berkesan serta menghalang pendidikan, kesedaran dan akses kepada sumber kesihatan haid.
Menurut laporan Unicef, lebih satu pertiga daripada gadis di Asia Selatan tidak mempunyai akses kepada produk kebersihan haid yang sepatutnya.
Ini menyebabkan mereka ponteng sekolah atau bekerja, atau menggunakan kaedah yang tidak bersih dalam menangani haid yang menyebabkan mereka berisiko dijangkiti penyakit.
Kemiskinan haid bukanlah satu isu yang baharu dalam kalangan masyarakat kita.
Menurut Nor Faiza Mohd Tohit, Sh Fatimah Al Zahrah Syed Hussien, Szariannie Sulaiman dan Rohaiza Rokis melalui kajian yang berjudul ‘Kemiskinan Haid: Krisis Kesihatan Awam Yang Perlu Diakhiri’ mentakrifkan kemiskinan haid melalui empat elemen utama iaitu keadaan apabila seseorang individu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita (pad) atau tampon, kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitasi untuk menguruskan haid, ketiadaan tempat pelupusan tuala wanita yang telah digunakan dan limitasi atau ketiadaan dari aspek ilmu pengetahuan berkaitan sistem reproduktif dan seksual.
Dirasai keluarga B40
Di Malaysia, kesan kemiskinan haid ini lebih dirasai dalam kalangan keluarga B40 yang mempunyai ramai anak perempuan serta golongan wanita yang tinggal di kawasan pedalaman.
Pada tahun 2022, Berita Harian melaporkan, dalam satu tinjauan di sebuah kolej, sebanyak 68.1 peratus pelajar wanita berdepan kemiskinan haid dengan gejala kemurungan sederhana hingga teruk.
Mereka juga mempunyai kadar kemurungan yang lebih tinggi daripada peserta yang tidak mengalami kemiskinan haid.
Faktor ekonomi juga menjadi dilema dalam kalangan wanita terbabit, apabila terpaksa memilih antara membeli makanan atau produk haid.
Di pihak kerajaan, sememangnya isu kemiskinan haid ini sentiasa diberi perhatian.
Sebagai contoh, dalam bajet 2022 kerajaan telah menyediakan bantuan bulanan kit kebersihan wanita kepada 130,000 remaja daripada kumpulan B40 seluruh negara.
Pujian harus diberikan kepada kerajaan negeri Selangor yang meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 menerusi Bajet 2023 baru-baru ini untuk memperkasakan wanita, termasuk melalui kempen kesedaran dan penyediaan tuala wanita percuma, menjadikannya negeri pertama memperkenalkan inisiatif sedemikian.
Selain dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan yang sangat sinonim dengan isu ini, kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Komunikasi dan Digital juga perlu lebih proaktif dalam membantu menangani isu kemiskinan haid ini.
Pihak kerajaan dan penggubal dasar perlu mengutamakan kemiskinan haid sebagai isu kesihatan awam. Dalam pada itu, penglibatan semua pihak amat diperlukan dan tidak hanya bergantung kepada inisiatif yang digerakkan oleh pihak kerajaan.
Jalinan kerjasama merentas kementerian dan agensi ini amat diperlukan bagi pengurusan kebersihan haid atau dikenali sebagai Menstrual Hygiene Management (MHM) yang holistik merangkumi akses terhadap produk kebersihan haid yang baik, ruang privasi yang secukupnya bagi golongan ini untuk menguruskan diri mereka dalam tempoh haid, kemudahan untuk membuang bahan pengurusan haid terpakai, tempat pelupusan tuala wanita yang bersesuaian dan sumber air yang bersih.
Skop Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan entiti swasta pula perlu memasukkan pembasmian kemiskinan haid sebagai aktiviti utama mereka.
Inisiatif NGO
Inisiatif yang digerakkan oleh NGO Bunga Pads serta Kempen “Peduli Merah” oleh Gerakan Kemiskinan Haid Malaysia yang digerakkan oleh Sharifah Fatimah Al Zahrah Syed Hussien Al Attas dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu dijadikan contoh oleh penyelidik sosial mahupun NGO dalam merancakkan usaha memberi pendidikan dan kesedaran berkaitan kemiskinan haid ini.
Institusi keluarga juga mempunyai peranan yang besar dalam mendidik dan memupuk kesedaran kepentingan pengurusan haid yang betul.
Kaum lelaki seperti ayah, suami atau abang juga sepatutnya memainkan peranan serta sentiasa prihatin memberi sokongan terhadap keperluan berkaitan haid ahli keluarga mereka.
Para saintis dan penyelidik juga perlu lebih serius dalam mencipta inovasi baharu yang lebih lestari dalam pengurusan kebersihan haid atau dikenali sebagai Menstrual Hygiene Management (MHM).
Perkhidmatan atau Produk yang dihasilkan perlulah lebih menjimatkan dan mesra alam sekitar agar ia mampu diperoleh oleh semua golongan wanita dan pada masa yang sama menyokong teknologi hijau.
Program-program pendidikan dan kesedaran perlu terus diperkasakan melalui kempen-kempen dan dialog terbuka berkaitan isu kemiskinan haid kepada pelbagai golongan masyarakat.
Ini bagi membangkitkan pemahaman dan rasa tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama turut berperanan membasmi kemiskinan haid.
Walaupun secara zahirnya kemiskinan haid di Malaysia masih berada pada tahap yang terkawal, ia akan dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui peningkatan program pendidikan, kesedaran, inovasi serta kerjasama berkaitan pengurusan haid oleh semua pihak yang dilakukan dengan lebih terbuka tanpa wujudnya stigma atau persepsi negatif yang selama ini membelenggu usaha pembasmian kemiskinan haid di seluruh dunia.
Syabas dan tahniah kepada pasukan staf Wanita Kinabalu sempena sambutan 30 tahun UTHM yang menggerakkan inisitif CSR Period Poverty di beberapa kawasan di Johor dan Sabah.
Semoga inisiatif sebegini dapat dicontohi serta diperhebatkan oleh pasukan atau agensi lain.
SHAFRY SALIM ialah timbalan pendaftar Pusat Kepimpinan dan Kompetensi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.