mk-logo
Berita
SPRM tahan pegawai imigresen kes rasuah lebih RM500,000
Diterbitkan:  Jun 7, 2023 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang pegawai imigresen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah dianggarkan lebih RM500,000.

SPRM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan suspek berusia 37 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Kuantan petang tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek didakwa menerima rasuah secara bulanan antara RM300 dan RM3,000 sejak 2018 hingga 2022 daripada pemilik pusat hiburan, pusat urut, pemilik kebun dan pemilik kilang kayu dalam daerah tempat dia bertugas.

Suapan itu didakwa bagi melindungi pekerja pemilik perniagaan itu daripada diganggu pihak penguat kuasa atas kesalahan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS