Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindiket pemerdagangan kanak-kanak Sri Lanka ke Eropah tumpas
Diterbitkan:  Apr 19, 2023 2:51 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Jabatan Imigresen hari ini memaklumkan pihaknya telah berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan kanak-kanak ke Eropah.

Ketua pengarahnya Ruslin Jusoh berkata, ia menerusi tangkapan pasangan suami isteri warga tempatan, masing-masing berusia 37 dan 26 tahun, pada 12 April lalu.

Dia berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan meyakinkan ibu bapa untuk membawa sijil lahir anak mereka yang berusia bawah 12 tahun ke pejabat imigresen untuk membuat pasport.

"Tetapi semasa proses permohonan di kaunter imigresen, kanak-kanak dari Sri Lanka yang hampir sama umur dengan anak sebenar akan dibawa ke hadapan kaunter bagi tujuan rakaman cap jari dan proses ambil gambar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, suspek turut bertindak sebagai 'transporter' dengan membawa kanak-kanak dari Sri Lanka yang berjaya mendapatkan pasport ke negara Eropah.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti tempoh sindiket ini telah beroperasi dan berapa ramai kanak-kanak yang telah terlibat.

"Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini menerima upah sebanyak EUR 30,000 hingga EUR 50,000 (RM145,906.18 hingga RM243,176.97) bagi setiap kanak-kanak Sri Lanka yang diuruskan permohonan pasport dan diiring ke negara Eropah," katanya lagi.

Ruslin berkata pasangan itu ditangkap ketika mereka ke pejabat imigresen di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pasport bagi seorang mangsa, selepas pegawai mengesan ada keraguan dalam permohonan tersebut.

Pegawai itu mengambil tindakan pantas dan menembual kanak-kanak tersebut kerana mendapati perbezaan rupa begitu ketara dengan penjaga dan tidak tahu berbahasa Malaysia, katanya.

Dia berkata pasangan suami isteri itu didakwa di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dan ditahan di Penjara Kajang sehingga sebutan kes pada 11 Mei ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS