Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPWKM gesa doktor didakwa cabul pesakit kanak-kanak digantung tugas
Diterbitkan:  Feb 10, 2023 8:27 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Doktor perubatan Hospital Kemaman yang didakwa mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun perlu digantung tugas sehingga kes selesai, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu.

Aiman Athirah berkata, ini kerana kes amang seksual wajar diperangi habis-habisan dengan semua pihak mengambil tindakan yang paling serius dan tegas.

"Tidak kiralah ia dilakukan oleh 'predator' berpangkat apa sekalipun. Tindakan keji seperti ini sangat merosakkan emosi dan masa depan kanak-kanak kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang doktor perubatan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul membabitkan seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Perintah reman sehingga 16 Februari itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Suspek berusia 30 tahun sebelum ini ditahan pada jam 1.50 petang semalam selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa amang seksual oleh doktor yang merawatnya.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa dalam kenyataan berkata, laporan tersebut diterima Rabu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata pihaknya juga menuntut perlindungan sewajarnya diberikan kepada mangsa dan keluarga.

"Seandainya mahkamah memberikan jaminan kerana menimbangkan rayuan tertuduh semasa permohonan jaminan, saya menggesa agar mahkamah memberikan jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak dibenarkan berhubung dengan mangsa atau keluarga mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali," tegas ahli parlimen Sepang itu lagi.

Dia berkata KPWKM memandang serius terhadap perkara itu.

"Saya bersama KPWKM akan mengikuti perkembangan kes ini secara rapat dan menyeru agar siasatan rapi dan teliti dijalankan, apatah lagi berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon suspek menunjukkan kemungkinan lebih ramai kanak-kanak perempuan telah menjadi mangsa," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS