Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekebun musang king Raub teruskan semakan kehakiman
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Kumpulan pekebun yang mengusahakan durian musang king di Raub, Pahang sepakat untuk meneruskan semakan kehakiman mereka di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang melalui satu kenyataan media petang tadi.

Samka ialah organisasi ditubuhkan pekebun durian musang king bagi memprotes skim diperkenalkan syarikat Royal Pahang Durian dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (RPDR-PKPP).

Tindakan kumpulan itu meneruskan semakan kehakiman dilihat sebagai mencabar saranan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, pada 27 Jan lalu yang meminta pekebun berkenaan mempertimbangkan semula hasrat mereka.

Chang melalui kenyataan media itu mendakwa pendirian kumpulan terbabit dibuat hasil pertemuan dihadiri kira-kira 500 pekebun tanpa geran di Kuil Guan Yin, Sungai Ruan dekat Raub pada jam 2.30 petang tadi.

"Perhimpunan ini memfokuskan perbincangan mengenai kandungan kertas terma terbaru ditawarkan RPDR-PKPP pada 30 Dis 2022.

"Samka berasa amat kesal kerana wakil RPDR-PKPP - melalui surat rasmi firma guaman - menolak untuk hadir dalam perhimpunan ini.

"Mereka (RPDR-PKPP) juga tidak pernah menganjurkan town hall (dialog awam) dengan pekebun dan ini menunjukkan mereka seolah-olah tidak berminat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak," katanya.

Chang turut memaklumkan kertas terma dicadangkan RPDR-PKPP ditolak sebulat suara oleh semua pekebun tanpa geran yang menghadiri perhimpunan petang tadi.

Usah buka ruang rundingan

Katanya, semua pekebun mendakwa syarat ditetapkan melalui kertas terma itu bersifat "eksploitasi" dan berat sebelah.

"Walaupun RPDR-PKPP mendakwa terma tersebut ditambah baik, tetapi cadangannya masih mengandungi terma bersifat berat sebelah seperti menetapkan harga tetap jauh lebih murah daripada pasaran selain memaksa pekebun menjual semua durian kepada kilang RPDP-PKPP yang belum dibina.

"Bagaimanapun, pekebun bersetuju menubuhkan panel rundingan untuk memulakan perbincangan dengan kerajaan Pahang mahupun syarikat RPDR-PKPP supaya menyelesaikan kemelut dihadapi," katanya lagi.

Chang berkata, kumpulan pekebun itu juga bersetuju rundingan perlu dijalankan berdasarkan prinsip rakan setara dan segala syarat kontrak dan proses menandatangani kontrak perlu dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

Katanya, pekebun juga sedia membayar kadar cukai tanah 20 kali ganda lebih tinggi daripada kadar ditetapkan kerajaan Pahang pada 2019.

"Mereka (pekebun) juga menawarkan untuk membayar kos tahunan bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar untuk mewujudkan industri durian lestari," katanya.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) Pahang dalam sidang media di Kuantan meminta kerajaan negeri tidak membuka ruang untuk berunding dengan peneroka tanah haram, termasuk pekebun durian musang king di Raub.

Perkara itu sangat penting, kata mereka, bagi memastikan kedaulatan negeri dan kepentingan rakyat Pahang tidak dicabul pihak berkepentingan.

Timbalan Pengerusi PN Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata isu pencerobohan tanah di Pahang sudah berlarutan sekian lama dan kerajaan negeri tidak perlu tunduk kepada sebarang tekanan oleh mana-mana pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS