mk-logo
Berita
Peka gesa semak semula data 'lapuk' bukit, cerun
Diterbitkan:  Dec 24, 2022 10:02 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Kerajaan wajar menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem ekologi negara dan bukannya bergantung kepada data "lapuk" untuk mengukur tahap keselamatan sesuatu tempat.

Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka) Kumpulan Alam Sekitar Damien Thanam berkata walaupun data lama menunjukkan hutan negara mampu mencegah risiko banjir dan bencana lain, penemuan sedemikian mungkin tidak lagi terpakai kerana negara mengalami perubahan cuaca melampau akibat pemanasan global.

"Kita masih guna data, cara dan garis panduan yang lama sejak 65 tahun lepas untuk menyelenggara tebing serta lereng bukit. Kajian baharu perlu dilakukan untuk mendapatkan teknik yang boleh digunapakai bagi keadaan semasa.

“Memang ada perubahan sedikit kaedah tetapi kita masih tidak dapat atasi kitaran keburukan akibat pemanasan global dan cuaca ekstrem yang berlaku dengan sangat cepat. Apa yang dialami sekarang jelas menunjukkan kita tidak tahu di mana tanah runtuh mahupun banjir boleh berlaku,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Presiden Peka Kumpulan Alam Sekitar Damien Thanam.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tanah runtuh di tapak perkhemahan Ladang Organik Bapa di Gohtong Jaya, yang mengorbankan 30 orang.

Menurut Damien lagi, kerajaan harus terbuka kepada kemungkinan membelanjakan jumlah wang yang tidak ditentukan untuk kajian itu, memandangkan ia boleh dipakai selama beberapa dekad akan datang.

Sementara itu, pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata pihak berkuasa dan pengusaha perlu bekerjasama bagi mengelak tragedi tanah runtuh Batang Kali berulang.

"Sama ada pemilik tanah mahupun pihak berkuasa, kedua-duanya perlu lebih maklum. Sebagai contoh, sekiranya kawasan itu hanya boleh dijadikan sebagai tempat tanaman organik maka sebagai pemilik perlu bertanggungjawab jangan jadikan ia sebagai tapak perkhemahan.

"Begitu juga dengan pihak berkuasa, mereka perlu ambil maklum dengan apa yang jadi di kawasan seperti sama ada terdapat individu membangunkan tapak komersial di tanah yang tidak sepatutnya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS