Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tokoh Umno Shahrir Samad menjangkakan penyandang kerusi Parlimen BN yang digugurkan dan kemudiannya bertanding bebas pada PRU15 akan berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi mereka.

Ketua Umno Johor Bahru itu berkata Umno juga tidak akan menerima mereka semula selepas ini.

"Saya tidak tahu yang sebenar-benarnya, tapi secara umumnya mereka akan berdepan kesukaran," katanya ketika ditemui selepas program kempen calon BN bagi Parlimen Johor Bahru, Johan Ariffin Ropi, malam tadi.

"Tapi tentunya panglima-panglima parti ini ada wang, yang merupakan soal penting dalam pilihan raya.

"Kita tak akan begitu terdesak (untuk terima mereka kembali). Mereka telah dipecat dan kita akan bergerak dengan apa yang kita ada," katanya lagi.

Langkah BN merombak barisan calonnya di Perlis menyaksikan dua pemimpin senior di negeri itu, iaitu Shahidan Kassim dan Zahidi Zainul Abidin, masing-masing digugurkan daripada bertanding di Arau dan Padang Besar.

Shahidan kemudian bertanding di Arau menggunakan tiket PN manakala Zahidi bertanding di Padang Besar, dan juga DUN Titi Tinggi, sebagai calon bebas.

Di Pahang, penyandang kerusi Parlimen Maran selama empat penggal, Ismail Abd Muttalib turut digugurkan dan kemudian bertanding di situ di bawah PN.

Bagi Shahrir, keadaan hari ini berbeza dengan semasa di mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru sebagai calon bebas dalam PRK 1988, yang tercetus selepas tindakannya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen di situ.

Ketika itu, Shahrir dipecat dari Umno tidak lama sebelum berlakunya krisis kehakiman pada tahun itu.

Dia kemudian kembali kepada Umno pada 1989 dan tidak bertanding dalam tiga PRU. Dia hanya kembali sebagai ahli parlimen Johor Bahru selepas PRU 2004 dan kekal sehingga 2013.

Umno angkat pemimpin muda

Terdahulu dalam ucapannya, Shahrir berkata Umno tidak lagi mengikut kelaziman terdahulu iaitu dengan mengangkat pemimpin di Johor, sebaliknya memberi laluan kepada golongan yang lebih muda.

Katanya, ia bermula dengan pemilihan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar.

"Ini sendiri mencerminkan keperluan segera untuk Umno berubah. Kita tak seharusnya teruskan saja amalan biasa.

"Dan pastinya Adun Umno yang baru kebanyakannya muda dan baru, dan pada akhirnya, kita ada majoriti yang sangat kuat," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS