DAP Pahang dijangka melakukan beberapa rombakan terhadap empat calon parlimen mereka untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.
Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa penyandang Parlimen Bentong Wong Tack tidak akan dipilih untuk mempertahankan kerusinya dan akan digantikan oleh Adun Ketari, Young Syefura Othman.
Jika betul, Syefura, yang lebih dikenali sebagai Rara dan dilihat sebagai bakal bintang yang mula meningkat naik dalam parti itu, dijangka berdepan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai yang mahu merebut semula kerusinya di Bentong.
Bagi Wong, kerjayanya dalam politik masih belum terkubur. Sumber DAP yang boleh dipercayai mendedahkan kepimpinan bahawa parti itu tidak menggugurkan Wong sama sekali sebaliknya menawarkannya untuk bertanding di Cameron Highlands.
“Apa yang saya faham pimpinan pusat parti masih menunggu jawapannya. Mudah-mudahan, dia akan membuat keputusan selewat-lewatnya petang ini,” kata sumber itu.
Jika Wong enggan menerima tawaran itu, dia tidak akan diberi kerusi lain untuk bertanding pada PRU15 ini, tambah sumber itu.
Bagaimanapun, seorang pemimpin akar umbi DAP dengan tegas membayangkan Wong akan bertanding pada PRU15 tidak kira apa keputusan yang dibuat oleh parti itu.
“Dia sudah beritahu kami dia pasti akan bertanding dalam PRU ini. Kita tunggu pengumuman minggu ini,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Wong untuk mendapatkan ulasannya tetapi belum menerima sebarang maklum balas mengenai perkara itu.
Sementara itu, gambar Wong bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, dengan ditemani bekas ahli DAP Hew Kuan Yau dua hari lalu mendedahkan beberapa petunjuk.
“Saya berbesar hati menyaksikan perbincangan yang tulus dan rasional antara Loke dan Wong mengenai ‘strategi besar’ untuk PRU kali ini.
"Ini akan memberi kesan untuk gambaran besar pada 19 Nov, kami mengharapkan kemenangan," kata sumber itu.
Dipercayai pertemuan itu bagi membincangkan tawaran supaya Wong bertanding di Cameron Highlands.
Wong, yang pertama kali dikenali sebagai aktivis anti-Lynas, membuat penampilan sulung pilihan raya pertamanya pada 2013 tetapi tewas kepada Liow dengan 379 undi di Bentong. Nasibnya berubah pada PRU14 apabila dia menang pula dengan majoriti 2,032 undi.
Bagaimanapun, ketidakupayaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji menutup loji penapisan nadir bumi milik Australia di Gebeng, Kuantan selepas berkuasa, menyebabkan Wong terdedah kepada pelbagai kritikan.
Malaysiakini difahamkan bahawa penyandang DUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dijangka bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, sekiranya Wong menolak tawaran itu.
Ketika dihubungi hari ini, Chiong tidak mengesahkan perkara itu dan menegaskan perkara itu akan diumumkan parti dalam tempoh minggu ini.
"Saya akan biar parti umumkan (sama ada saya bertanding di Cameron Highlands atau pun tidak)," jawabnya ringkas.
Syefura juga berkata bahawa isu mengenai calon akan diumumkan oleh Loke minggu ini dan dia tidak boleh mendahuluinya.
“Maaf, saya tak boleh sahkan apa-apa selagi belum diumumkan oleh Anthony Loke. Difahamkan dalam masa terdekat akan dibuat,” katanya.
Selain Bentong dan Cameron Highlands, DAP Pahang akan bertanding di Raub dan Lipis.
Satu lagi sumber DAP memberitahu Malaysiakini bahawa terdapat dua calon berpotensi untuk Raub, iaitu penyandang kerusi Parlimen itu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, dan Adun Tras Chow Yu Hui.
Sementara itu, Lipis adalah kerusi parlimen baru yang diperuntukkan kepada DAP untuk pilihan raya kali ini dan difahamkan parti itu mungkin akan meletakkan muka baru berlatar belakang perkhidmatan awam.
Ini adalah kali pertama parti itu akan bertanding di Lipis selepas jurang 36 tahun.