Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Netizen merungut tambang pesawat mencanak naik lepas tarikh PRU15 diumum
Diterbitkan:  Oct 20, 2022 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Selepas SPR mengumumkan tarikh pengundian PRU15 akan berlangsung pada 19 Nov, pengundi luar bergegas cuba membeli tiket penerbangan pulang ke negeri asal mereka sehari sebelum hari pengundian.

Bagaimanapun, ramai warga maya terkejut apabila mendapati harga tiket penerbangan melonjak begitu cepat selepas pengumuman SPR itu.

Hos radio CityPlusFM Teck Chai berkongsi di Facebook pengalamannya hari ini cuba membeli tiket penerbangan untuk 18 Nov, dari Kuala Lumpur ke Sibu.

Dia berkata ketika pertama kali menyemak pada 12.20 tengah hari tadi untuk tiket penerbangan pergi balik AirAsia, ia berharga RM330.

Kira-kira 20 minit kemudian, apabila dia menyemak semula penerbangan pulang yang sama, dia mendakwa harganya telah mencanak naik kepada RM736.

“Kos tiket balik mengundi RM800 lebih, adakah ia berbaloi? Jangan lupa bayaran pengangkutan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tidak murah.

“Sudah tentu bagi mereka yang berkemampuan, nilai demokrasi tidak boleh diukur dengan wang, bukan? Tetapi saya hanya manusia biasa.

“Saya rasa ramai rakyat Malaysia Timur yang bekerja di Semenanjung akan mempunyai perasaan yang sama mengenai kos ‘RM800 lebih' itu? Adakah awak bergurau,” keluh Teck.

Salah siapa?

Dalam keadaan sebegitu, dia menyoal salah siapa jika pengundi tidak kembali mengundi.

“Adakah ini salah pengundi (kerana) kedekut dan tidak mempunyai kesedaran demokrasi?

“Atau adakah salah kerajaan (kerana) tidak berusaha untuk mempromosikan dan memelihara demokrasi? Atau adakah salah syarikat penerbangan (kerana) cuba 'merompak' rakyat semasa pilihan raya,” soalnya.

Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai ‘Iced Nyior’ juga mengadu hal yang sama mengenai lonjakan mendadak tambang penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur.

Dia berkongsi tangkap layar cubaannya untuk membeli tiket penerbangan pergi balik dari Johor Bahru ke Kuching pada 12.35 tengah hari, yang menyatakan jumlah keseluruhannya ialah RM359.42 untuk satu tiket.

Walau bagaimanapun, dia menerima kod ralat semasa dia cuba mengesahkan transaksi tempahan tiketnya.

Dalam tangkap layar lain yang dikongsinya, harga untuk penerbangan pergi balik yang sama telah melonjak sehingga RM727.44 pada jam 12.50 tengah hari.

Dia menyoal AirAsia mengenai kod ralat yang diterimanya, berkata adalah tidak masuk akal harga tambang penerbangan pergi balik kini naik sebanyak dua kali ganda.

“Isu yang sama untuk penerbangan pada Khamis (17 Nov). Harga awal yang sama dan kemudian menaikkan tambang dan ralat yang sama. Macam 'scam'," katanya.

Ciapannya menarik perhatian penyandang kerusi parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang menggesa beberapa syarikat penerbangan menawarkan harga promosi kepada pengundi seiring PRU15.

“(Harga) tiket penerbangan naik dua kali ganda. PRU15 bukan masa untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Saya menggesa AirAsia, Malaysia Airlines, Firefly dan Malindo Air menawarkan harga promosi PRU15 untuk pengundi.

"Jika anda boleh melakukannya pada PRU14, mengapa tidak (anda melakukannya) sekarang,” soal Sim (gambar, bawah).

Seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai ‘Wong Joey Yee’ berkata tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan kini berharga hampir RM1,000.

Dia berkata sebagai pelajar daripada keluarga B40 berpendapatan rendah, bukan mudah bagi dirinya menyimpan wang untuk PRU15.

“Lebih baik mereka bagi diskaun untuk pengundi Sabah dan Sarawak (yang menetap di Semenanjung) kerana kita masih tiada hak mengundi pos pada 2022.

“Malaysia ‘boleh’,” katanya sinis.

Sementara itu, seorang pembaca memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa dia juga melihat kenaikan harga tiket apabila dia menyemak penerbangan dari Selangor ke Kuala Terengganu pada 18 Nov.

Apabila dia menyemak pada jam 1.54 tengah hari, harga tiket sehala untuk penerbangan 7.15 pagi dan 11.20 pagi masing-masing ialah RM184 dan RM211.

Kira-kira satu setengah jam kemudian pada 3.33 petang, dia berkata harga penerbangan pada masa yang sama telah meningkat masing-masing kepada RM211 dan RM238.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pada kira-kira jam 12.20 tengah ini bahawa hari pengundian bagi PRU15 akan berlangsung pada 19 Nov.

Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 5 Nov, dengan tempoh berkempen selama 14 hari. Pengundian awal akan berlangsung pada 15 Nov.

Pilihan raya bagi DUN Perlis, Perak dan Pahang serta PRK Bugaya akan mengikuti tarikh di atas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS