Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kematian Vinosiny: Lepas 5 bulan, keluarga masih tunggu jawapan

Punca kematian S Vinosiny masih belum jelas walaupun setelah lima bulan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) itu meninggal dunia.

Maka pihak keluarga dan peguam mereka mendesak agar inkues berkenaannya dilaksanakan segera.

"Sudah hampir lima bulan sejak Vinosiny meninggal dunia di UUM.

"Tetapi sehingga sekarang, inkues terhadap kematiannya masih tidak dibuat. Keluarga juga tidak diberikan garis masa bila ia akan dibuat.

"Keluarga kami meinta koroner agar mempercepatkan inkues ini, dengan mengambil kira ia adalah kes serius dan keputusannya juga memberi kesan besar kepada pelajar lain," kata bapa mendiang, R Sivakumar Rajoo dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Vinosiny yang merupakan penuntut semester empat jurusan perakauanan didapati meninggal dunia di bilik hostelnya di kampus UUM di Sintok, Kedah, pada 21 Mei lalu.

Dia disyaki terkena renjatan elektrik dan pihak keluarga mendakwa ia ditunjukkan menerusi kecederaan pada badan dan dapatan daripada bedah siasat.

UUM pada mulanya dituduh tidak berterus-terang berhubung kematiannya. Namun, pihak pengurusan universiti kemudian memohon maaf kepada keluarga dan berikrar akan memberi kerjasama penuh untuk mengenal pasti kebenaran berhubung tragedi itu.

Pada 28 Mei lalu, Sivakumar membuat laporan polis berhubung kemungkinan berlaku kecuaian oleh pentadbir di kampus Sintok.

Dia memberi keterangan kepada pihak polis pada 3 Jun namun tiada perkembangan lanjut berhubung kes itu.

'Nak tunggu sampai bila?'

Peguam keluarga, M Manoharan turut menyuarakan kekecewaannya berhubung dakwaan tiadanya tindakan oleh pihak berkuasa.

"Saya amat kecewa peguam negara masih belum mengarahkan inkues dilakukan. Mengapa pihak berkuasa terlalu perlahan dalam bertindak?" soalnya.

"Seorang pelajar yang bercita-cita tinggi meninggal dunia di bilik hostel ekoran renjatan elektrik. UUM perlu ambil tanggungjawab.

"Sampai bila keluarga perlu tunggu untuk tahu kebenaran tentang kematian Vinosiny? Kami mahukan jawapan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS