Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Desakan PRU15 awal: Muhyiddin sekali lagi ingatkan Ismail janji dengan PN

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tentang perjanjian gabungan itu dengannya bahawa tarikh PRU perlu dirunding terlebih dahulu sebelum ia diputuskan.

“Kalau mengikut perjanjian antara PN dan perdana menteri yang saya dan perdana menteri tandatangan, bila perdana menteri nak tentukan tarikh pilihan raya, beliau kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Tak tahulah saya sama ada perdana menteri masih ingat adanya perjanjian itu,” sindir Muhyiddin ketika berucap di Konvensyen PN di Maeps di Serdang, Selangor hari ini.

Kenyataannya itu dibuat di saat spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat kekal diperkatakan.

Pada 20 Ogos lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi membangkitkan perkara itu dengan menyatakan Umno berisiko kalah jika PRU15 tidak diadakan pada tahun ini.

Spekulasi itu kian hangat diperkatakan susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, minggu lalu.

'BN tetap akan kalah jika PRU tahun ini'

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata PN telah bersedia untuk menghadapi PRU15 walaupun ia dipercepatkan.

Yakin dengan kemenangan PN pada PRU akan datang, dia berkata BN tetap akan berdepan dengan kekalahan jika pilihan raya diadakan pada tahun ini.

“Kalau esok perdana menteri menghadap Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan, tentu sudah bersedia masuk gelanggang untuk menang dalam pilihan raya.

“Saya baca kenyataan presiden Umno (Ahmad Zahid hamidi) merangkap pengerusi BN. Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini, bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, BN mungkin akan kalah, (tapi) kalau tahun ini pun mungkin akan kalah.

“Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka taklah kuat sangat,” katanya sambil menyatakan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN semakin merosot.

Katanya, defisit kepercayaan itu ditambah pula dengan desakan BN untuk mempercepatkan pilihan raya hanya untuk merampas semula Putrajaya.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja.

“Prinsip kita ialah pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itulah tujuan kita berada di dalam wadah PN," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS