Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kita mungkin dah tak kisah tapi ancaman Covid-19 masih ada'

Selepas lebih dua tahun berjaya mengelakkan diri daripada jangkitan SARS-CoV-2, akhirnya saya terkena juga jangkitan virus COVID-19.

Kalau hendak diikutkan sudah banyak kali saya terdedah kepada virus ini iaitu sejak bulan Februari hingga Mei lepas.

Pengalaman yang saya kongsikan di sini meletakkan diri saya sebagai kontak rapat mereka yang kemudiannya disahkan menghidap COVID-19.

Kes pertama, ketika saya menumpang kenderaan pekerja kemanusiaan untuk ke klinik bagi mendapatkan vaksin tifoid/tifus sebelum ke Afghanistan. Berikutnya melibatkan seorang ahli diplomat Wisma Putra yang duduk tidak jauh daripada saya ketika makan tengah hari dalam penerbangan ke Kabul dan satu lagi, pakar hak asasi wanita yang saya temu bual di bengkel hak asasi pekerja. Namun nasib saya baik, ujian yang saya buat semua negatif.

Meskipun saya pasti mengenakan pelitup mula KF-94 atau KN-95 setiap kali melangkah keluar dari rumah, saya bukanlah 100 peratus berhati-hati setiap saat. Memang saya mengamalkan mencuci tangan tetapi saya bukanlah sepanjang masa mencuci tangan. Mahupun dalam menggunakan pembersih tangan hand sanitizer.

Insiden beberapa kali saya nyaris dijangkiti COVID-19 membuatkan saya tertanya-tanya mungkinkah saya ini kebal daripada jangkitan COVID-19. Vaksin dan dos penggalak yang saya ambil sebelum ini cekap melatih sistem imun saya sehingga dapat ‘menewaskan’ sebarang virus corona sebelum menguasai tubuh badan saya.

Pada masa yang sama, para penyelidik di serata dunia [https://www.nature.com/articles/s41590-021-01030-z] sedang berusaha untuk menentukan sekiranya sesetengah orang mempunyai kekebalan genetik terhadap serangan virus corona.

Ketika semakin ramai anggota keluarga kawan dan rakan sekerja yang positif COVID-19 berbanding yang tidak pernah jatuh sakit, saya mula menggelarkan diri saya ‘unicorn’ (haiwan seakan kuda bersumbu yang terkenal dalam kisah dongeng dan mempunyai kuasa ajaib) kerana berjaya mengelakkan diri daripada jangkitan.

Itu yang membuatkan saya agak yakin untuk ke luar negara bagi menemani suami saya yang mendapat cuti sambil bekerja, di sebalik berita berlaku penularan meluas subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron yang dianggap varian dominan.

Namun hati tertanya-tanya juga mungkinkah sub-varian ini boleh menewaskan vaksin dan dos penggalak yang telah saya ambil dan aduhai tidak tergambarkan jika dijangkiti COVID-19 di negara asing.

Dalam kes saya, semua ini berlaku di Bali, pulau percutian yang tidak asing lagi terutamanya bagi pelancong luar negara. Sebelum berlaku pandemik COVID-19, memanglah Pulau Bali menjadi tumpuan tambahan tiada sekatan untuk mengembara ke sana ke sini. Paling-paling teruk penyakit yang boleh kita dapat bila bercuti di luar negara ialah hidung tersumbat akibat selesema.

Tiga hari selepas tiba di Pulau Bali, suami saya mula mengadu sakit tekak. Pada mulanya dia tidak ambil kisah kerana sebelum itu dia tersedut sedikit semburan pelindung matahari. Keesokan harinya, suami saya mula batuk-batuk dan bunyinya menjadi lebih teruk.

Saya yang bimbang mengesyorkan supaya suami saya membuat ujian COVID-19. Nasib baik saya ada membawa bersama beberapa kit ujian pantas (RTK-Antigen) air liur. Suami saya melakukannya dengan yakin ujian itu akan negatif memandangkan sebelum ini beliau sudah banyak kali membuatnya. Namun kali ini, selepas 12 minit menunggu, nampak garisan samar-samar di bahagian T.

Aduh, suami saya positif COVID-19!

Hotel tidak siap siaga

Tanpa berlengah kami memaklumkan kepada pihak hotel yang ternyata tidak bersedia untuk mengendalikan tetamu yang jujur tentang status COVID-19 mereka. Nampaknya, mereka ini lebih suka untuk tidak tahu dan berharap tetamu mereka akan jatuh sakit apabila mereka kembali ke tanah air masing-masing. Mereka tidak mempunyai sebarang pelan untuk kami atau menyediakan sebarang maklumat apa yang kami perlu lakukan.

Dengan pengalaman ini, saya syorkan sesiapa yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara, pastikan anda tahu bagaimana untuk menghubungi wakil negara anda di negara yang anda singgahi.

Dalam situasi kami, ternyata Google boleh juga membantu. Pejabat perwakilan Malaysia di Bali mempunyai maklumat yang kami perlukan, seperti hotel yang mendapat persijilan CHSE (Cleanliness, Health, Safety and Environmental Sustainability) daripada pihak berkuasa kesihatan Bali di mana kami boleh menjalani kuarantin sekiranga hotel di mana kami menginap bertindak mengusir kami dan juga lokasi untuk membuat ujian COVID-19.

Memandangkan saya dan suami sudah mengambil vaksin dan dos penggalak, kami tidaklah bimbang sangat keadaan kami akan menjadi teruk. Kami bernasib baik pihak hotel membenarkan kami terus menginap di hotel berkenaan meskipun saya sebelum itu sudah berusaha mencari hotel lain sekiranya disuruh keluar.

Kami menjalani kuarantin kendiri di dalam bilik hotel kami dan makanan akan dihantar terus ke bilik kami. Masa dihabiskan dengan menonton televisyen dan ada kalanya memandang jauh ke pantai.Rasa kesal juga kerana kami tidak banyak berjalan di pantai ketika mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

Rancangan saya untuk melawat semua tempat yang saya pernah lawati di Bali dan menulis tentang bagaimana industri pelanccongan di pulau berkenaan terkesan akibat COVID-19 dan bangkit semula, juga tidak kesampaian. Saya hanya sempat berbual dengan seorang pemandu Grab yang apabila ditanya tentang pemulihan Bali, beliau menjawab “masih merangkak”.

Bukan lagi status unicorn

Seperkara lagi yang menjadi kebimbangan kami ialah kami tidak boleh terbang pulang ke Malaysia kerana situasi saya.

Saya yang banyak membuat liputan tentang COVID-19 dan banyak membaca kajian mengenainya tahu, masuk hari ke lima, status suami saya untuk masih positif COVID-19 adalah rendah terutama sekiranya beliau terus memakai pelitup muka. Masalahnya adalah dengan diri saya.

Dalam hal suami dan isteri, serta varian COVID-19 yang mempunyai kadar jangkitan tinggi, apabila seorang positif, yang seorang lagi berdepan risiko tinggi untuk positif juga. Meskipun ujian yang saya buat menunjukkan negatif namun kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka mahu pun ketika tidur.

Sehari sebelum kami dijadualkan pulang ke tanah air, saya dan suami saya membuat ujian COVID-19 dan keputusannya negatif.

Walaupun bersyukur, namun hati saya berat untuk meyakini hasil ujian berkenaan kerana hidung saya sedikit tersumbat tetapi tidak ada sakit tekak atau demam. Hidung tersumbat mungkin kerana COVID-19 tetapi mungkin juga sebab alahan yang saya alami. Kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dan mencuci tangan dengan pembersih tangan ketika menuju ke lapangan terbang.

Jika sebelum ini ada kerisauan yang saya bersikap tidak bertanggungjawab kerana masih menaiki pesawat dalam keadaan kemungkinan ada jangkitan COVID-19, namun perasaan itu lenyap sebaik sahaja kami berada di dalam kapal terbang. Apa tidaknya, ramainya penumpang batuk. Apa pun saya kekal memakai pelitup muka KN-95 sepanjang penerbangan pulang.

Sebaik tiba di rumah, saya membuat ujian air liur dan ujian calitan di hidung. Hasil ujian air liur negatif tetapi ujian calitan di hidung menunjukkan tanda samar positif.

Nampaknya status unicorn saya sudah tak boleh dipakai. Saya perlu menjalani kuarantin di rumah selama seminggu. Tidaklah menjadi hal bagi saya untuk berbuat demikian, cuma sebelum ini saya sudah berkurung dalam bilik yag kecil di lokasi yang sungguh cantik dan mendamaikan di dunia.

Saya fikir suami saya mendapat jangkitan COVID-19 semasa dalam penerbangan ke Bali. Mungkin ianya terjadi ketika kami makan tengah hari di dalam pesawat kerana masa itu sahaja kami menanggalkan pelitup muka.

Ini sedikit nasihat daripada saya. Sekiranya anda melakukan perjalanan atau merancang melakukan perjalanan, berhati-hatilah selalu. Kekal pakai pelitup muka. Bawa kit ujian calitan di hidung. Dapatkan insurans perjalanan atau perubatan yang boleh membayar kos penginapan hotel sekiranya anda perlu tinggal lebih lama kerana jangkitan COVID-19. Paling penting, dapatkan vaksin dan dos penggalak COVID-19.

Berhati-hatilah, meskipun saya berat hati untuk menyatakannya tetapi COVID-19 ini akan bersama kita untuk jangka masa yang panjang lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS