Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Naik teksi jika tak setuju kenaikan tambang e-hailing'
Diterbitkan:  Aug 15, 2022 3:41 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Pengguna e-hailing yang tidak bersetuju dengan kenaikan tambang perkhidmatan berkenaan boleh memilih untuk menaiki pengangkutan awam lain, kata timbalan menteri pengangkutan, Henry Sum Agong.

Henry berkata ini kerana konsep operasi e-hailing adalah secara persetujuan antara penumpang dan pembekal perkhidmatan.

"Penumpang boleh membuat tempahan kepada mana-mana pembekal perkhidmatan e-hailing dan boleh bersetuju mahupun tidak bersetuju dengan perkhidmatan yang ditawarkan termasuk dengan kadar tambang yang dikenakan.

"Sekiranya penumpang tidak bersetuju dengan perkhidmatan yang disediakan, penumpang boleh menggunakan mod pengangkutan yang lain seperti teksi," katanya di Dewan Negara hari ini.

Dia menjawab soalan Senator Lim Pay Hen, yang bertanyakan apakah tindakan yang akan diambil kementerian terhadap penyedia perkhidmatan e-hailing yang mengenakan tambang terlalu tinggi.

Henry berkata kenaikan tambang e-haling berpunca akibat peningkatan mendadak permintaan orang ramai terhadap perkhidmatan berkenaan selepas sektor ekonomi dan sosial dibuka semula berikutan peralihan kepada fasa endemik Covid-19.

Selain itu dia berkata sepanjang tempoh pandemik ramai pemandu e-hailing tidak meneruskan pekerjaan mereka, menyebabkan jumlah pemandu yang aktif berkurangan di pasaran untuk menampung permintaan penumpang.

Lim juga bertanya apakah yang akan dilakukan kerajaan untuk memastikan lebih banyak persaingan dalam sektor tersebut, namun soalan itu diabaik oleh Henry.

Henry juga mengelak sekali lagi apabila ditanya Senator Dominic Lau, yang ingin tahu apakah yang akan dilakukan untuk menghadapi "soft monopoly" dalam industri berkenaan, memandangkan ia hampir dikawal sepenuhnya oleh satu pembekal.

Sebaliknya, Henry mengatakan pemandu e-hailing memiliki perlindungan insurans dan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Ketika diasak oleh Lau, timbalan menteri itu hanya berkata Kementerian Pengangkutan akan meneliti perkara itu dan bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan.

Tambang e-hailing melonjak sehingga 400 peratus pada waktu puncak terutamanya di Lembah Klang, menyebabkan bantahan daripada orang ramai.

Pada Mei lalu, Kementerian Pengangkutan berjanji memantau perkhidmatan itu dari semasa ke semasa dan menganalisis cadangan termasuk mekanisme kawal selia kadar tambang.

Di negara ini terdapat lebih 10 penyedia perkhidmatan e-hailing, namun sebahagian besar pasaran dikawal oleh Grab.

Pada masa itu, kementerian berkata kesesakan lalu lintas di bandar-bandar, berikutan pembukaan semula ekonomi, juga menjadi faktor kenaikan harga tambang.

Selain kesesakan lalu lintas yang semakin buruk dan lonjakan tambang e-hailing, terdapat laporan mengenai kesesakan dalam koc dan platform pengangkutan rel, menambahkan lagi kesulitan penumpang di Lembah Klang

‘E-laung ganti e-hailing’

Sementara itu, Speaker Dewan Negara, Rais Yatim mencadangkan kementerian pengangkutan mencari istilah bahasa Malaysia untuk e-hailing dan bukannya menggunakan istilah bahasa Inggeris.

Dia mencadangkan istilah "e-laungan" bagi menggantikan perkataan bahasa Inggers, namun meminta kementerian menyemak sekiranya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah mempunyai istilah dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakannya.

Rais juga menegur penggunaan istilah Bahasa Inggeris "soft monopoly" oleh Lau dan bertanya apakah yang membezakan antara lembut dengan keras (hard monopoly).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS