Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan elektrik: Rebat pengguna terjejas bergantung siasatan, jelas Takiyuddin
Diterbitkan:  Jul 31, 2022 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dapat menjamin dapat memberikan rebat kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Rabu lepas, maklum Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

Sebaliknya, rebat itu akan tertakluk kepada hasil siasatan - yang akan disiapkan bulan depan - yang akan menentukan antara lain sama ada TNB telah memenuhi syarat-syarat Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) atau tidak.

Penjelasan itu dibuat sehari selepas beliau dilaporkan secara meluas sebagai mengumumkan bahawa pengguna yang terjejas akan mendapat rebat.

Ini kebanyakannya berdasarkan laporan Bernama dengan tajuk "Gangguan elektrik: TNB akan beri rebat pada pengguna terjejas - Takiyuddin" yang diterbitkan oleh pelbagai saluran berita termasuk Malaysiakini.

Takiyuddin dilaporkan berkata pengguna yang terkesan seperti peniaga boleh membuat tuntutan dengan menyatakan jumlah kerugian dialami.

Bagaimanapun, semakan terhadap laporan Berita Harian dari sidang media yang sama, menunjukkan menteri itu telah memaklumkan penafian bahawa rebat itu tertakluk kepada syarat-syarat dan pengiraan tertentu.

Dalam kenyataannya hari ini, Takiyuddin menjelaskan GSL merupakan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga yang memerlukan TNB memastikan bekalan elektrik yang terbaik.

Kegagalan untuk mematuhi GSL akan mengakibatkan penalti dalam bentuk rebat kepada pengguna yang terjejas.

"Dalam kejadian Rabu minggu lalu, sekitar sejuta pengguna di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilaporkan terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik yang tercetus mulai jam 12:39 tengah hari.

"Bagaimanapun, bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga 2 jam 21 minit, iaitu tidak melebihi GSL terkini yang telah diluluskan pada 22 September 2020.

"Walau bagaimanapun, keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan," katanya lagi.

Selain menentukan sama ada TNB dalam kejadian tersebut mematuhi GSL atau tidak, siasatan itu juga akan meneliti punca dan kesan gangguan berkenaan.

Gangguan bekalan elektrik pada Rabu lalu menjejaskan beberapa negeri di Semenanjung termasuk sebahagian besar Lembah Klang.

TNB berkata gangguan disebabkan kerosakan peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS